Cadangan naik taraf Jalan Johor Bahru-Endau dalam Rolling Plan Kelima

Alexander (dua, kanan) meninjau saliran sungai di laluan FT003 Johor Bahru-Mersing yang terjejas banjir tempoh hari. Foto Bernama
Alexander (dua, kanan) meninjau saliran sungai di laluan FT003 Johor Bahru-Mersing yang terjejas banjir tempoh hari. Foto Bernama
A
A
A

MERSING - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengemukakan cadangan menaik taraf dan membaiki jajaran FT003 (Jalan Johor Bahru-Endau) melibatkan lokasi sering kemalangan dan terjejas banjir untuk dimasukkan dalam Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan yang melibatkan kerja-kerja naik taraf dan membaiki jajaran jalan di Seksyen 106 hingga Seksyen 118, dianggar melibatkan kos lebih RM100 juta.

Beliau berkata, KKR berhasrat mengemukakan cadangan itu selepas berbincang dengan Jabatan Kerja Raya negeri dan melihat kepentingan projek berkenaan.

Alexander (kanan) melihat data-data dan gambar banjir di laluan FT003 Johor Bahru-Mersing. Foto Bernama
Alexander (kanan) melihat data-data dan gambar banjir di laluan FT003 Johor Bahru-Mersing. Foto Bernama

"Kita (KKR) anggap (projek) ini sebagai penting demi keselamatan nyawa sebab sebahagian dalam jajaran ini memang dikatakan ‘black spot’ (iaitu) kerap berlaku kemalangan dan banyak juga kehilangan nyawa selama ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau laluan itu di sini pada Ahad.

Berdasarkan data JKR, sepanjang tiga tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 10 Disember lepas, sebanyak 103 kemalangan direkodkan di laluan FT003 di daerah ini, bermula dari sempadan Kota Tinggi hingga Rompin, Pahang.

Daripada 103 kemalangan itu, 27 kes adalah melibatkan kemalangan maut.

Alexander (depan, tengah) melihat dari dekat cerun bukit yang terjejas akibat banjir di laluan Johor Bahru - Endau. Foto Bernama
Alexander (depan, tengah) melihat dari dekat cerun bukit yang terjejas akibat banjir di laluan Johor Bahru - Endau. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Alexander berkata, jajaran yang dicadang untuk dinaik taraf itu juga sering terjejas banjir, justeru terdapat kepentingan untuk diutamakan.

Beliau berkata, cadangan itu juga merupakan kesinambungan kepada kerja-kerja menaik aras jalan iaitu laluan FT003 (Jalan Kota Tinggi-Mersing) melibatkan anggaran kos sebanyak RM120 juta yang telah diluluskan permohonan dalam Rolling Plan Keempat (RMK12).

Setakat ini, beliau berkata, terdapat empat lokasi di Kota Tinggi di laluan berkenaan yang dikenal pasti berisiko dinaiki air apabila hujan lebat iaitu Seksyen 47-Seksyen 49 (berhampiran Lembaga Getah Malaysia), Seksyen 55-56 (Kim Long), Seksyen 59-61 (Yatama City) dan Seksyen 71-72 (RISDA).

Laluan FT003 merupakan jalan penghubung utama dari Kota Tinggi ke Mersing serta negeri-negeri di pantai timur Semenanjung.

Terdahulu, Alexander turut meninjau lokasi cerun runtuh di FT003 Jalan Johor Bahru-Kampung Sawah Dato’ di sini. - Bernama