Pelajar Tingkatan 4 dirogol: Ibu kandung pula direman

Ibu kandung mangsa rogol (kiri) dibawa ke mahkamah bagi proses permohonan reman pada Ahad.
Ibu kandung mangsa rogol (kiri) dibawa ke mahkamah bagi proses permohonan reman pada Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Polis menahan reman ibu kepada mangsa rogol berusia 16 tahun bagi membantu siasatan selepas remaja terbabit mendakwa dirogol oleh seorang buruh berusia 18 tahun pada awal bulan ini.

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan permohonan reman selama tujuh hari ke atas wanita berusia 43 tahun itu bermula Ahad hingga Sabtu depan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ibu kandung mangsa ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Menurutnya, polis menahan wanita tersebut kira-kira jam 7 petang pada Sabtu selepas siasatan awal dijalankan berhubung kes itu.

"Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dirogol lelaki berusia 18 tahun beberapa minggu lalu dan bapa tirinya yang berusia 32 tahun disyaki menjadi dalang kes tersebut.

"Bagaimanapun, selepas siasatan lanjut dilakukan, mangsa turut mendakwa dia pernah dirogol bapa tirinya itu di kediamannya sebelum ini," katanya kepada pemberita, di sini, pada Ahad.

Hanyan berkata, polis telah menahan lelaki berusia 18 tahun dan bapa tiri mangsa yang merupakan pengumpul barangan terpakai awal pagi Sabtu lalu.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu sehingga Jumaat depan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan kes ini dibuat selepas mangsa bersama kakaknya yang berusia 19 tahun tampil membuat laporan di balai polis. Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut.

"Kita akan melihat sama ada terdapat penglibatan ibu mangsa dalam kes ini dan akan menyiasat sekiranya wujud pengabaian terhadap mangsa mengikut Seksyen 3 AKKSTKK," jelas beliau.