Warga Indonesia: Elak dianggap rakyat kelas kedua

MARSHA DAMITA SIAGAN
MARSHA DAMITA SIAGAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga Indonesia hendaklah berwaspada agar tidak dianggap seperti rakyat kelas kedua kerana mempunyai masalah perundangan ketika berada di luar negara terutamanya berkaitan kesalahan imigresen.

Calon Parti Solidaritas Indonesia bagi kerusi Dewan Pewakilan Rakyat Republik Indonesia, Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta 2, Marsha Damita Siagan berkata, setiap rakyat perlu mematuhi peraturan negara yang mereka berada itu untuk mengelakkan sebarang layanan yang tidak sepatutnya daripada warga tempatan.

“Apabila kita sendiri bermasalah, masyarakat tempatan akan memberikan stigma negatif kepada warga Indonesia yang berada di mana-mana negara termasuk Malaysia.

“Sebagai rakyat yang bertanggung jawab, mereka perlu mengatasi masalah ini dan menghindari daripada perkara boleh menimbulkan permasalahan lain pula,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau yang dalam rangka lawatan sempena kempen Pilihan Raya Umum (Pemilu) yang akan berlangsung pada 14 Februari depan berkata, terdapat juga isu rakyat Indonesia tidak mengetahui berkenaan hak apabila berada di luar negara.

“Mereka mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) sekiranya berhadapan dengan masalah akan tetapi perlulah sentiasa berinteraksi dengan badan itu.

“Apabila berada di luar negara, hendaklah sentiasa berhubung dengan KBRI tetapi malangnya ada antara rakyat Indonesia yang berada di negara ini langsung tidak tahu cara menghubungi kedutaan,” katanya.

Tegasnya, hal sebegini semestinya akan mengundang perkara negatif lain pula termasuklah ‘orang tengah’ mengambil kesempatan terdapat rakyat Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Apabila tidak tahu cara menyelesaikan masalah, pihak ketiga akan mengambil kesempatan termasuklah mengenakan ‘bayaran’ tidak sepatutnya dan mengakibatkan pelanggaran undang-undang tempatan,” katanya.