Penggunaan sumber tenaga alternatif untuk jana elektrik meningkat

Ladang solar terapung yang menjana tenaga elektrik pada kadar 15 megawatt dengan keluasan 12 hektar yang disalurkan kepada Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Pantai Remis di tapak projek 9.9 MWAC Floating Solar Project milik ADL Solar Sdn Bhd. Foto fail Bernama
Ladang solar terapung yang menjana tenaga elektrik pada kadar 15 megawatt dengan keluasan 12 hektar yang disalurkan kepada Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Pantai Remis di tapak projek 9.9 MWAC Floating Solar Project milik ADL Solar Sdn Bhd. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia merupakan negara yang kaya dengan sumber tenaga seperti solar, tenaga hidro dan hidrokarbon seperti gas asli.

Dalam dunia menuju ke arah pelepasan karbon sifar bersih, negara kini telah mencatat kemajuan untuk mencapai komitmen seawal 2050 dengan mempelbagaikan kepada tenaga hijau selain turut memperkenalkan beberapa dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sebagai garis panduan kepada komitmen tersebut.

Kerajaan telah melancarkan program Kelestarian Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) 4.0 untuk meningkatkan pembelian peralatan elektrik cekap tenaga dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pada masa ini, sektor tenaga Malaysia amat bergantung kepada bahan api fosil, tetapi terdapat tumpuan yang semakin meningkat kepada sumber tenaga boleh baharu seperti tenaga hidro dan tenaga solar yang telah menyumbang kepada kira-kira 5.0 peratus dan 6.0 peratus daripada penggunaan tenaga negara sejak lima tahun lepas.

Kerajaan menyasarkan 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang tenaga lestari menjelang 2025, naik daripada 23 peratus pada masa ini.

Di bawah Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan lanjutan program pemeteran tenaga bersih (NEM) sehingga 31 Disember 2024, untuk menggalakkan penggunaan panel solar.

Kerajaan juga sedang membangunkan program pembelian balik solar di bumbung bangunan dengan implikasi kos kepada sistem yang minimum.

Pada masa yang sama, kerajaan menggalakkan syarikat untuk menawarkan model langganan Kos Modal Sifar, seperti yang akan ditawarkan oleh syarikat tenaga bersih, Gentari untuk rumah kediaman.

Artikel Berkaitan:

Putrajaya akan dijadikan model bandar hijau untuk Malaysia dengan pemasangan panel solar di bangunan kerajaan yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Gentari.

Kerajaan juga akan menggunakan kenderaan elektrik untuk tujuan rasmi.

Pemasangan solar di kediaman terus meningkat

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holdings Bhd, Davis Chong berkata, pihaknya melihat peningkatan ketara pemasangan panel solar di kawasan kediaman sejak beberapa tahun lepas, didorong oleh gabungan faktor sokongan dasar tenaga kerajaan, kemajuan teknologi solar dan peningkatan komitmen terhadap amalan tenaga lestari.

Malah, katanya, usaha itu juga berleluasa di bandar-bandar utama seperti Lembah Klang, Johor serta Pulau Pinang, susulan sikap pemilik rumah yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap manfaat ekonomi dan alam sekitar daripada sistem tenaga solar.

Projek-projek tenaga solar juga tidak terkecuali semakin meningkat di kawasan utara yang menerima jumlah cahaya lebih ketara.

Tidak ketinggalan, Johor yang menyaksikan pelaksanaan tenaga solar secara signifikan, didorong oleh pertumbuhan ekonomi dan pembangunan selain tanah dan sumber bumbung yang mencukupi, kata Davis.

"Selain itu, kami turut menyaksikan peningkatan minat secara konsisten negeri-negeri seperti Kedah, Perak dan Negeri Sembilan yang membuktikan tarikan tenaga solar di serata negara.

"Pemasangan solar di kawasan kediaman Malaysia terus berkembang dengan kebanyakan golongan 20 peratus berpendapatan tinggi (T20) dan 40 peratus berpendapatan sederhana (M40) secara amnya lebih peka serta mempertimbang untuk memasang kemudahan solar bumbung,” katanya kepada Bernama.

Bagi kemajuan masa depan, Solarvest menjangkakan satu lagi kitaran peningkatan minat, malah turut teruja menunggu perkembangan berkaitan pusingan peruntukan kuota baharu bagi NEM.

"Sebagai maklum balas terhadap peningkatan permintaan itu, kami telah menyusun semula perniagaan kediaman, Vestech Energy Sdn Bhd, agar bersedia memenuhi dan melangkaui jangkaan pemilik kediaman yang mahu memasang penyelesaian solar di bawah inisiatif progresif ini,” katanya.

Setakat ini, Solarvest telah terbabit membantu penjanaan lebih daripada 1,000 kediaman menerusi Vestech Energy.

Selain itu, syarikat penyelesaian tenaga bersih itu juga mempunyai perancangan yang melibatkan lebih daripada 3,000 kediaman dalam senarai perolehan tendernya setakat November 2023.

Menggalakkan kecekapan tenaga di Malaysia

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, program seperti SAVE 4.0 merupakan langkah yang tepat untuk menggalakkan kecekapan tenaga di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, menggalakkan budaya cekap tenaga yang meluas mungkin memerlukan usaha yang lebih komprehensif dan ini termasuklah kempen pendidikan awam yang berterusan untuk meningkatkan kesedaran tentang amalan penjimatan tenaga dan faedah jangka panjang yang diperoleh daripada kecekapan tenaga.

"Selain itu, pemberian insentif kepada individu dan perniagaan melalui program seperti faedah kewangan, rebat dan pengiktirafan dapat mendorong lagi kepada cekap tenaga. Kerjasama dengan sektor swasta untuk berinovasi dalam teknologi cekap tenaga juga boleh memainkan peranan penting,” katanya kepada Bernama.

Walaupun SAVE 4.0 merupakan inisiatif yang positif, katanya pendekatan pelbagai peringkat mungkin diperlukan untuk mengubah cara penggunaan tenaga dengan ketara di seluruh negara.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, Malaysia tidak mempunyai pelan peralihan yang sewajarnya dengan terlebih dahulu mengoptimumkan sumber alternatifnya berbanding negara jiran.

"Sebagai contoh, pembangunan biojisim dan biogas kurang dibangunkan dan rancangan untuk meningkatkan potensi sektor ini hanya di peringkat perbincangan sejak beberapa dekad lepas.​

"Sebaliknya, projek peralihan tenaga disokong oleh pencadang projek dan bukan berdasarkan cara kita perlu transit dan menyesuaikan diri dengan penyelesaian baharu untuk alternatif sumber tempatan. Kecekapan tenaga bergerak amat perlahan di Malaysia dan telah lewat dua dekad,” katanya.

Merujuk Indonesia dan Singapura sebagai contoh, katanya Indonesia mempunyai simpanan arang batu dan negara itu merancang untuk mengoptimumkan pengeluaran arang batu bagi membiayai sebahagian proses peralihan tenaganya manakala Singapura akan beralih kepada mengimport sumber tenaga alternatif untuk memacu proses peralihan tenaganya berikutan sumber yang boleh digunakan terhad.

Dorong liberalisasi pasaran elektrik

Putrajaya telah memulakan usaha bagi meletakkan asas yang diperlukan untuk meliberalisasikan pasaran elektrik Malaysia dengan menarik lebih banyak pelaburan tenaga boleh baharu sekali gus akan memperhebat agenda peralihan tenaga negara.

Kerajaan telah mengenal pasti tiga agenda utama dalam bergerak maju iaitu meminda Akta Bekalan Elektrik 1990, memperbaharu struktur tarif elektrik dan mewujudkan Pembeli Tunggal bebas yang membeli daripada syarikat utama utiliti nasional, TNB.

Mohd Afzanizam berkata, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dalam menjawab persoalan sama ada Malaysia perlu memperbaharu lagi pasaran elektrik dengan meliberalisasikannya atau sebaliknya.

Walaupun liberalisasi boleh menggalakkan persaingan, yang berpotensi membawa kepada penyelesaian tenaga lebih cekap dan inovatif, harga lebih rendah dan perkhidmatan yang lebih baik untuk pengguna, perkara itu juga boleh menarik pelaburan swasta dan teknologi maju kepada sektor tenaga, katanya.

"Walau bagaimanapun, penting untuk mengimbangi manfaat ini dengan keperluan pengawasan kawal selia bagi memastikan kebolehpercayaan, kemampuan dan perlindungan alam sekitar.

"Kerajaan mesti menilai semua aspek ini dengan teliti dan mempertimbangkan dinamik landskap tenaga Malaysia yang unik selain objektif dasar sebelum membuat keputusan mengenai pembaharuan itu,” katanya. - Bernama