Speedy Tigers intai lima terbaik

Speedy Tigers akan berdepan Kanada bagi penentuan tempat kelima-keenam. Foto MHC
Speedy Tigers akan berdepan Kanada bagi penentuan tempat kelima-keenam. Foto MHC
A
A
A

PASUKAN hoki lelaki negara berpeluang menamatkan kempen kelayakan Olimpik di Muscat, Oman pada kedudukan kelima selepas gagal menamatkan kemarau 24 tahun ke Sukan Olimpik setelah membenam Chile 5-0 pada aksi klasifikasi 5-8 pada Sabtu.

Pada aksi di Stadium Hoki Oman itu, skuad Speedy Tigers terpaksa menunggu sehingga suku ketiga untuk membuka akaun jaringan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-32 sebelum gol padang Mohamad Ashran Hamsani menggandakan jaringan dua minit kemudian.

Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia terus menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-41, gol padang Norsyafiq Sumantri minit ke-48 dan pukulan penalti Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal minit ke-60.

Pada aksi penentuan tempat kelima-keenam, skuad kendalian Arul Selvaraj itu akan bertemu pasukan di ranking ke-18 dunia Kanada yang menewaskan China 3-1 pada satu lagi aksi klasifikasi.

Speedy Tigers gagal layak ke Olimpik Paris 2024, yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (9 mata), Pakistan (4 mata) dan China (3 mata).

Speedy Tigers membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China Isnin lalu, kemudian dibelasah 1-4 oleh Great Britain pada Selasa dan terikat 3-3 menentang Pakistan pada awal pagi Jumaat.

Sebagai rekod, hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen kelayakan di Oman akan melayakkan diri ke Paris 2024 - kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Dalam perkembangan sama, skuad wanita pula menamatkan kempen kelayakan di Valencia, Sepanyol di kedudukan tercorot dalam kalangan lapan negara selepas tewas 1-2 kepada Ukraine pada aksi penentuan kedudukan ketujuh-kelapan.

Artikel Berkaitan:

Dua gol pukulan sudut penalti pada separuh masa kedua, masing-masing menerusi Anastasiia Voevoda pada minit ke-45 dan Valeriia Rudychenko pada minit ke-52 membawa kemenangan buat Ukraine.

Malaysia pula membalas menerusi gol padang Fatin Shafika Mahd Sukri pada minit ke-60 menerusi 'powerplay' (menggantikan penjaga gol dengan pemain biasa) untuk merapatkan jurang.

"Kita agak kecewa kerana tewas walaupun pemain telah beri yang terbaik dan kita hampir menjaringkan gol kedua. Ini merupakan satu pendedahan yang baik buat pasukan kita, yang kebanyakannya dibarisi pemain muda," kata pengendali Malaysian Tigeress, Nasihin Nubil Ibrahim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!