X

Kindly register in order to view this article
!

Tarif air di Negeri Sembilan kekal: Aminuddin

Aminuddin
A
A

SEREMBAN - Tarif air di negeri ini masih kekal pada kadar yang sama dan tiada sebarang kenaikan bagi tempoh lima tahun ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, perkara itu adalah seperti yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.

Berikutan itu, pihaknya akan membuat semakan secara terperinci dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar yang sebelum ini mengatakan semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka dilaksana tahun ini.

"Tiada perbincangan khusus mengenainya dibuat dalam Mesyuarat Exco atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setakat ini dan pendirian itu selari dengan janji manifesto kerajaan PH Negeri Sembilan pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) iaitu tiada kenaikan tarif air dalam tempoh lima tahun ini.

“Saya akan semak semula dengan menteri tetapi pada dasarnya memang kita sudah janji dalam manifesto tiada kenaikan tarif air sehingga lima tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Xavier pada Disember lepas bahawa semua negeri secara dasarnya bersetuju menaikkan tarif air tahun ini manakala kadarnya akan dimuktamadkan selepas perbincangan selesai diadakan.

Dr Xavier dalam masa sama memberi jaminan kenaikan tarif air itu munasabah, tidak membebankan pengguna dan kadar peningkatan tidak melebihi dua peratus daripada pendapatan isi rumah.

Terdahulu, Aminuddin merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Seri Aminuddin Harun yang julung kali dianjurkan di sini melibatkan 82 pasukan selama dua hari bermula hari ini.

Mengulas mengenai penganjuran kejohanan sepak takraw itu, beliau mahu sukan berkenaan terus diketengahkan selain melahirkan bakat-bakat baharu.

"Dalam Sukan SEA lepas, Negeri Sembilan menghantar tiga wakil dan seorang daripadanya berjaya membawa pulang pingat perak dan ianya sesuatu yang membanggakan.

"Dengan penganjuran seperti hari ini, kita yakin sukan ini mampu menarik lebih ramai anak muda menyertainya," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!