Operasi kuari diarah henti sementara

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

TAIPING - Arahan pemberhentian sementara operasi kuari telah dikeluarkan kepada syarikat operator susulan aduan sumber air tercemar yang dihadapi penduduk Orang Asli Kampung Kelatap, Pos Perwor dekat Sungai Siput.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, notis itu dikeluarkan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) pada 12 Januari lalu bagi memberi laluan kerja-kerja remidi dilaksanakan serta-merta.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan mendapati, pencemaran air berlaku disebabkan adanya pembukaan tanah bagi kolam mendapan di kawasan yang sepatutnya tidak disentuh serta pelepasan sisa buangan dari tangki septik yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dalam kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Antara kerja-kerja remidi yang perlu disegerakan termasuklah meratakan tanah di kawasan untouched area yang telah dibuka dan membina ban bagi mengelak berlakunya laluan air mengalir ke kawasan tadahan air.

"Kerja-kerja ini telah dijalankan sejak 13 Januari lalu sehingga kini," katanya ketika ditemui pemberita sempena pelancaran sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping di sini pada Sabtu.

Saarani (empat dari kanan) ketika membuat lawatan ruang pameran sempena pelancaran sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping pada Sabtu.
Saarani (empat dari kanan) ketika membuat lawatan ruang pameran sempena pelancaran sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping pada Sabtu.

Saarani berkata, kerja-kerja pembangunan kuari oleh MB Inc di kawasan itu telah dimulakan sejak September 2023 setelah mendapat semua kelulusan daripada agensi teknikal berkaitan.

Begitupun katanya, kerajaan negeri mengambil maklum kesulitan yang dihadapi penduduk di situ dan satu tindakan pantas dengan membuat siasatan terhadap laporan tersebut telahpun dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes ini, pihak operator bersetuju untuk membantu penduduk kampung yang terjejas dengan membina tangki air tambahan yang lebih baik agar mendapat bekalan sumber air bersih.

"Pihak operator juga akan mendapatkan nasihat daripada perunding lantikan bagi pelaksanaan langkah mitigasi yang sesuai serta mengemukakan pindaan cadangan skim kuari untuk kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan lebih 100 penduduk Orang Asli Kampung Kelatap, Pos Perwor dekat Sungai Siput terdedah dengan ancaman penyakit apabila sumber air bukit kegunaan harian didakwa tercemar akibat projek kuari berhampiran penempatan mereka.

Mereka mendakwa, lebih dua tahun penduduk menggunakan air yang dicemari najis dan bahan buangan dari tandas milik rumah kongsi pekerja di tapak projek berkenaan.