Kereta bertangki besar 'kantoi' seludup petrol

Kereta yang diubah suai ini ditahan menerusi Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di sempadan negara sekitar Tumpat.
Kereta yang diubah suai ini ditahan menerusi Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di sempadan negara sekitar Tumpat.
A
A
A
TUMPAT - Tindakan seorang penyeludup mengubah suai sebuah kereta jenis Proton Iswara dengan membuat tangki tambahan terbongkar apabila ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di Jalan Pohon Tanjong-Bendang Luas di sini pada Jumaat.

Kenderaan itu ditahan menerusi Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di sempadan negara sekitar Tumpat bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor pada jam 12.35 tengah hari.

Pengarahnya KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, sejurus ditahan hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan tangki besar ubah suai pada bahagian bonet kereta tersebut.

"Sebanyak 325 liter petrol telah ditemukan di dalamnya," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, sebelum itu KDPN Kelantan telah mengesan kereta tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di laluan Jalan Kampung Delima menuju Kampung Kubang Batang.

Ujarnya, selepas mengekori suspek sejauh tiga kilometer kereta tersebut berjaya ditahan.

Azman memberitahu, suspek kemudian telah bertindak meninggalkan kereta terbabit dan melarikan diri ke dalam kawasan semak.

"Kesemua barang kawalan bersama kenderaan tersebut disita untuk siasatan lanjut dan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Maklumat risikan mendapati suspek tersebut disyaki membuat pembelian berulang kali di beberapa stesen minyak sekitar Tumpat seterusnya akan membawa muatan minyak petrol ke pangkalan haram untuk tujuan penyelewengan barang kawalan ke negara jiran," katanya.

Artikel Berkaitan: