Gagal seludup mercun, minuman keras

 Pasukan Polis Marin
Pasukan Polis Marin
A
A
A

MERSING - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Mersing berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk minuman keras dan mercun yang dianggarkan bernilai RM125,638 selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Mersing-Endau, dekat sini pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad berkata, penahanan terhadap kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 76 tahun tahun itu dilakukan kira-kira jam 7.30 pagi.

"Penahanan terbabit dilakukan menerusi satu operasi yang diketuai seorang pegawai kanan dan enam anggota PPM Wilayah Dua.

"Hasil siasatan kemudian menemukan sejumlah karton minuman keras dan kotak mengandungi mercun di dalam kenderaan yang dipandu lelaki itu," katanya menerusi kenyataan.

Abdul Rahman berkata, lelaki dan kesemua hasil rampasan termasuk kenderaan terbabit diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang memandu sebuah Toyota Hilux dan merampas 260 liter minyak diesel yang diletakkan di dalam tong plastik di sebuah stesen minyak, di Jalan Jemaluang di sini, dua hari lepas.

Menurutnya, penahanan dilakukan kira-kira jam 7 malam selepas seorang pegawai dan enam anggota pasukan itu bertindak atas maklumat awam.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang berumur 63 tahun itu dipercayai melakukan kesalahan melanggar syarat lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna," katanya dan menambah kesemua barangan yang dirampas termasuk kenderaan itu dianggarkan bernilai RM45,600.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahman sehubungan itu menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, barang kawalan, minuman keras, mercun dan dadah melalui talian 07-2372221 atau 2372222. - Bernama