'Tak boleh terkial-kial cari rentak'

Harimau Malaya perlu mengatur perancangan rapi selain taktikal yang betul untuk bangkit daripada kekalahan ketika berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad, Qatar pada Sabtu. Foto FB FAM
Harimau Malaya perlu mengatur perancangan rapi selain taktikal yang betul untuk bangkit daripada kekalahan ketika berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad, Qatar pada Sabtu. Foto FB FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya perlu mengatur perancangan rapi selain taktikal yang betul untuk bangkit daripada kekalahan ketika berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad, Qatar pada Sabtu.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, perlawanan menentang Bahrain merupakan perlawanan hidup mati dan penentu sama ada skuad negara masih berpeluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Menurutnya, kesilapan pada perlawanan pertama ketika dibelasah Jordan perlu diperbaiki dan dalam masa sama pemain tidak boleh rasa gugup atau lambat menyesuaikan diri apabila perlawanan bermula.

“Kalau kita kalah pada perlawanan persahabatan, kita dapat lihat kelemahan kita.

Namun, apabila kita kalah di kejohanan besar macam ini, ia satu cabaran kepada pemain dan jurulatih.

“Saya yakin kita boleh bersaing dengan Bahrain, tetapi kita jangan buat kesilapan kecil dan perlu lebih pantas daripada mereka.

“Ketika perlawanan menentang Jordan, kita agak terkial-kial untuk menyesuaikan diri sedangkan Jordan terlebih dahulu agresif menekan pertahanan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Skuad negara membuka kempen Piala Asia dengan langkah kiri dibelasah Jordan 0-4 pada awal pagi Selasa dan akan bertemu Bahrain pada aksi kedua pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wan Jamak, corak permainan dimiliki Bahrain di ranking ke-86 dunia dan Jordan (ke-87) hampir sama dan skuad negara seharusnya boleh sedikit sebanyak mengetahui apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan itu nanti.

“Kepantasan adalah perkara utama dalam kejohanan ini selain mereka cepat menutup ruang untuk elakkan lawan membina permainan.

“Perkara sebegini yang perlu dilihat oleh Harimau Malaya.

Dalam masa sama, saya juga tidak menyalahkan taktikal Pan-gon dalam perlawanan pertama kerana dalam bola sepak cara bertahan yang baik adalah dengan menyerang.

“Mungkin sebab itu Pan-gon meletakkan ramai pemain penyerang dengan harapan apabila kita menyerang, pemain Jordan tidak akan dapat menyerang.

Itu harapannya tetapi tidak berjaya dan kita kena gol awal yang mematikan rentak.

Saya rasa untuk perlawanan kedua mungkin ada strategi yang berbeza,” katanya.