Kereta rosak teruk langgar kuda, mahu pemilik bertanggungjawab

Kereta mangsa mengalami kerosakan teruk akibat dilanggar kuda yang masuk ke tengah jalan secara tiba-tiba. Foto Facebook Shamsuri Shamsudi
Kereta mangsa mengalami kerosakan teruk akibat dilanggar kuda yang masuk ke tengah jalan secara tiba-tiba. Foto Facebook Shamsuri Shamsudi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mendedahkan bahawa keretanya mengalami kerosakan teruk selepas dilanggar seekor kuda di Jalan Tengku Ampuan Intan Zaharah berdekatan Rhu Tapai, Setiu pada 11 Januari lepas.

Justeru, pemilik Facebook dikenali Shamsuri Shamsudi itu berharap pemilik kuda tersebut menghubunginya susulan tiada individu tampil sejak kejadian tersebut berlaku.

"Saya ada terlibat kemalangan pada minggu lepas apabila seekor kuda masuk ke tengah jalan secara tiba-tiba dan kemudian melanggar kereta saya dalam kejadian jam 10.05 pagi.

"Jadi saya nak minta tolong siapa kenal pemilik kuda ini? Selepas saya kemalangan tak ada seorang pun munculkan diri.

"Alhamdulillah, saya dan tiga penumpang lain selamat tetapi kereta memang rosak termasuk lampu dan bumper hadapan pecah selain tayar dan rim juga rosak," katanya di Facebook pada Khamis.

Susulan kejadian itu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 13 Januari lepas.

"Sampai sekarang tiada berita dan senyap. Mohon isu ini viral supaya pemilik kuda nampak hantaran dibuat ini," jelasnya.

Perkongsian gambar tersebut kini tular dengan meraih 1,100 tanda suka serta rata-rata netizen meminta supaya pemilik kuda tersebut bertanggungjawab untuk tampil menghubungi mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Arwah abang meninggal dunia langgar kuda di kawasan itu tetapi pemilik tak mengaku la dan tak minta maaf pun," tulis Wan Fakhrurazi di ruangan komen.

"Kesian pada pemilik kereta. Orang yang bela kuda ini, orang yang berduit. Semoga dipermudahkan urusan pemilik kereta," kata Zariah Ismail.

"Gambar dan video sudah ada, pemilik kuda kenalah bertanggungjawab...polis kena buat siasatan menyeluruh. Kasihan pada pemilik kereta," ujar Mohammad Rohim.