OPV1 APMM mulakan operasi mulai hari ini

Ruji (depan dua, kanan) bergambar kenangan bersama Hamid dan anggota kru Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) APMM selepas membuat tinjauan di sekitar perairan Sarawak hari ini. Foto Bernama
Ruji (depan dua, kanan) bergambar kenangan bersama Hamid dan anggota kru Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) APMM selepas membuat tinjauan di sekitar perairan Sarawak hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) yang dibina sepenuhnya di Malaysia secara rasmi memulakan pengoperasian pertamanya dengan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak, khususnya di kawasan Laut China Selatan bermula hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi berkata kapal itu telah diserahkan kepada Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak 2 Jan lepas.

"Dengan penambahan OPV yang kelima bagi APMM ini, kita berharap operasi menjaga keselamatan sempadan perairan negara khususnya di Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan, terutama sekiranya ada ancaman kedaulatan dan juga pencerobohan nelayan asing.

"Kita mengharapkan pihak Maritim Malaysia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik. OPV1 ni sangat istimewa kerana ia boleh berada di perairan selama tempoh 21 hari tanpa ulang bekal,” katanya dalam sidang media selepas lawatan rasminya menaiki kapal OPV1 di sini, hari ini.

Kru OPV1 APMM membuat persediaan untuk berlabuh di Pelabuhan Kuching selepas membuat rodaan di perairan Sarawak hari ini. Foto Bernama
Kru OPV1 APMM membuat persediaan untuk berlabuh di Pelabuhan Kuching selepas membuat rodaan di perairan Sarawak hari ini. Foto Bernama

OPV1 merupakan OPV kelima Maritim Malaysia yang beroperasi setakat ini, selain Kapal Maritim (KM) Arau, KM Pekan, KM Langkawi dan KM Banggi.

Jelasnya, kewujudan OPV1 yang ditugaskan menjaga perairan negeri ini khususnya di Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum juga bertujuan mengurangkan risiko syarikat cari gali dan petroleum menjadi sasaran kes rompakan di laut.

Terdahulu, beliau dan rombongan KDN yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan menaiki helikopter AW139 telah melakukan pendaratan di atas kapal itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya majlis penamaan OPV1 dijadualkan disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pelabuhan Pending dalam masa yang terdekat.

Mengulas lanjut berkaitan status OPV2 dan OPV3, Ruji berkata kedua-dua aset itu dijangka diserahkan dalam tempoh dua tahun dengan masing-masing berada pada tahap 76 peratus dan 56 peratus siap.

"Jadi untuk OPV2 tinggal 24 peratus dan OPV3 tinggal dalam 43 peratus (untuk siap) dan ia sama (seperti model) OPV1... aset-aset ni dan akan dapat memperkukuhkan kawalan sempadan di kawasan Laut Cina Selatan khususnya,” katanya dan menambah ketiga-tiga OPV itu keseluruhannga berjumlah kira-kira RM740 juta.

Hadir sama, Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dan Timbalan Ketua Setiausaha KDN (Pengurusan) Dr Abdul Gapar Abu Bakar. - Bernama