Pura-pura beli barang sebelum samun kedai serbaneka

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Kegiatan samun seorang lelaki di kedai serbaneka 24 jam dengan berpura-pura sebagai pelanggan, tidak bertahan lama apabila dia dicekup polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan jam 2.30 petang di kawasan Senawang.

"Pada 14 Januari(Ahad lalu) jam lebih kurang 5.18 pagi, polis telah terima laporan kes samun daripada mangsa wanita berusia 20 tahun yang merupakan pekerja kedai serbaneka di Jalan Datuk Sheikh Ahmad di sini.

"Anggaran kerugian ialah RM1,250 iaitu wang tunai RM250 dan seutas rantai emas milik mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, dua hari selepas itu satu lagi laporan kes samun kedai serbaneka di Jalan Temiang di sini, jam lebih kurang 1.22 pagi, yang mengakibatkan kerugian RM775.

Tambahnya, keesokannya pada jam 2.45 pagi polis menerima laporan kes sama di kedai serbaneka di Jalan Tuanku Antah di sini pula membabitkan mangsa lelaki berusia 27 tahun.

"Dalam kejadian itu mangsa disamun seorang lelaki bersenjatakan kayu besbol disyaki suspek sama dengan anggaran kerugian RM125.

"Hasil siasatan mendapati, suspek telah memasuki kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam dengan berpura-pura membeli barang dan melakukan samun terhadap pekerja kaunter wang selepas mesin wang dibuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arifai berkata, semakan mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau dan hasil saringan air kencing menunjukkan yang dia positif methamphetamine.

Katanya, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan

"Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun melibatkan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di sekitar daerah ini," katanya.