MCA bantah cadangan ERC tukar sistem pilihan raya

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menyifatkan cadangan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) untuk menukar sistem pilihan raya sedia ada kepada sistem perwakilan berkadar (PR) sesuatu yang pelik dan tidak selari dengan prinsip demokrasi.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, cadangan itu juga dilihat akan menafikan hak rakyat dalam membuat pilihan pemimpin atau parti yang diingini mereka.

Menurutnya, sesuatu reformasi khususnya melibatkan sistem pilihan raya negara seharusnya diteliti sebaiknya tanpa cenderung kepada kepentingan parti politik tertentu.

“Inilah Malaysia satu-satunya negara yang mana Pengerusi ERC (Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman) adalah seorang aktivis dan juga pemimpin parti komponen dalam kerajaan.

“Di mana letaknya bebas daripada sebarang pengaruh politik jika teraju utama jawatankuasa itu merupakan antara barisan pemimpin parti politik.

“Kalau macam itu, lepas bincang (sesama wakil kerajaan) bawa ke Parlimen dan luluskan sahaja. Mana demokrasinya?,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ka Siong berkata, sebelum reformasi terhadap sistem pilihan raya negara dilakukan, jawatankuasa itu terlebih dahulu perlu membuat perubahan yang sebetulnya.

“Mana reformasinya jika orang yang mengetuai jawatankuasa itu adalah merupakan barisan kepimpinan parti. Jadi saya tidak tahu mesej (reformasi) apa sebenarnya yang cuba disampaikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan ERC untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada iaitu sistem pemenang kerusi terbanyak (FPTP) kepada sistem PR yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat termasuk ahli akademik.

Sebelum ini, Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilaporkan berkata, jawatankuasa itu akan mengusulkan kepada kerajaan untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada kepada PR.

Katanya, sistem PR disifatkan lebih adil dan demokratik, selain menggalakkan parti politik untuk melebihkan khidmat mereka kepada rakyat selain menjadikan mereka lebih bersatu-padu.