'Jangan buang masa dengan Langkah Seremban' - Jalaluddin

Jalaluddin (dua kiri) dan Aminuddin (tiga kiri) ketika mengulas isu mengenai Langkah Seremban.
Jalaluddin (dua kiri) dan Aminuddin (tiga kiri) ketika mengulas isu mengenai Langkah Seremban.
A
A
A

PORT DICKSON - Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyangkal dakwaan adanya gerakan mahu menjatuhkan Kerajaan Negeri Sembilan melalui Langkah Seremban.

Malah katanya, ia disifatkan sebagai provokasi semata-mata dalam usaha menggugat keharmonian kerajaan negeri.

"Jangan buang masa. Sekarang kami dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun) sudah mempunyai persefahaman yang cukup baik untuk menguruskan kerajaan negeri dibawah Kerajaan Perpaduan.

"Kita telah sebulat suara mahukan Aminuddin sebagai Menteri Besar," katanya kepada pemberita bagi mengulas dakwaan wujudnya Langkah Seremban selepas usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan melalui Langkah Dubai didakwa gagal.

Aminuddin (tiga kanan) dan Jalaluddin (tiga kiri) ketika menyampaikan replika cek berkenaan kepada wakil nelayan.
Aminuddin (tiga kanan) dan Jalaluddin (tiga kiri) ketika menyampaikan replika cek berkenaan kepada wakil nelayan.

Sebelum itu Jalaluddin hadir pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin bersama Nelayan Negeri Sembilan yang turut dihadiri Aminuddin di Auditorium Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson pada Khamis.

Dalam pada itu, Aminuddin ketika diminta mengulas mengenainya memberitahu tidak mengetahui tentang Langkah Seremban.

"Saya tak tahu apa cerita, tiba-tiba ada langkah ini. Kalau ada langkah (Langkah Seremban) saya pun tak datang sini, takkan nak jumpa orang yang nak buat langkah," katanya secara berseloroh.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diwakili 14 ADUN daripada BN, 17 PH dan lima daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti mudah membentuk kerajaan adalah 19 kerusi.

Sementara itu dalam majlis berkenaan seramai 276 nelayan menerima elaun berkenaan berjumlah RM82,800 dengan 210 daripadanya merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Port Dickson manakala bakinya PNK Teluk Kemang.