Dua beradik hilang: Seorang lagi akhirnya dijumpai

Kedua-dua remaja dilaporkan hilang selepas pulang daripada solat Subuh di surau kawasan perumahan mereka di Taman Bernam Jaya.
Kedua-dua remaja dilaporkan hilang selepas pulang daripada solat Subuh di surau kawasan perumahan mereka di Taman Bernam Jaya.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang lagi remaja yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Bernam Jaya, di sini sejak 1 Januari lalu, dijumpai selamat pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, remaja berusia 15 tahun itu dibawa oleh seorang lelaki ke Balai Polis Hulu Bernam pada jam 10.48 pagi.

"Siasatan mendapati remaja itu dipercayai telah tinggal dengan seorang warga tempatan di sebuah hotel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur selama sembilan hari sebelum melarikan diri.

"Remaja itu kemudian tinggal seorang diri di hotel terbiar berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur selama enam hari," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kemudian pada 15 Januari, remaja itu telah meminta bantuan daripada seorang lelaki yang juga gelandangan berusia 28 tahun sebelum menghantarnya ke Balai Polis Hulu Bernam.

Katanya, semakan mendapati remaja itu ialah salah seorang individu yang dilaporkan hilang bersangkut Ulu Bernam Repot 6/2024.

"Polis Hulu Selangor masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti keadaan remaja terbabit.

"Sebarang maklumat dari orang awam mengenai penemuan remaja ini sangat dialukan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur oleh individu tidak dikenali.

Malah, remaja berusia 16 tahun yang berjaya melarikan diri itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya selain diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari lalu.

Susulan itu, Polis Kuala Lumpur telah menahan seorang suspek lelaki untuk siasatan kes cabul dan liwat membabitkan kehilangan dua beradik terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, laporan diterima pihaknya daripada seorang remaja berusia 16 tahun pada jam 2.48 pagi, 12 Januari lalu.