600 pelajar IPT terpilih sertai kursus AI

Menteri Besar ditemui pada Majlis Perasmian Graduasi Sekolah Digital Selangor pada Khamis
Menteri Besar ditemui pada Majlis Perasmian Graduasi Sekolah Digital Selangor pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 600 pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka dipilih bagi menyertai kursus dan latihan sektor kecerdasan buatan (AI) di Sekolah Digital Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelajar terbabit akan menjalani kursus selama 60 jam dalam tempoh sebulan bersama penggiat industri bagi mengasah kemahiran AI seterusnya dapat memenuhi pasaran kerjaya.

Menurutnya, sesi pertama kursus tersebut bermula pada November tahun lalu melibatkan 31 pelajar tahun akhir Universiti Selangor yang kemudiannya akan menjalani latihan industri di syarikat-syarikat berkaitan.

“Sesi seterusnya akan melibatkan pelajar dari Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Monash, Universiti Sunway dan Universiti Nottingham.

“Kerjasama pintar ini memberi nilai tambah kepada pelajar tahun akhir untuk kerjaya masing-masing. Saya percaya langkah ini akan melengkapkan ekosistem pasaran kerjaya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Graduasi Sekolah Digital Selangor selepas menyerahkan sijil kepada 31 pelajar di sebuah hotel di Seksyen 7 pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan Dekan Fakulti Seni Visual Komunikasi dan Komputer Universiti Selangor, Prof. Madya Ts Dr Wan Azlan Wan Hassan.

Sekolah Digital Selangor dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), pusat berkenaan melibatkan pembelajaran peringkat sijil, diploma sehingga ijazah sarjana.

Artikel Berkaitan: