Doktor maut selepas tujuh jam bertarung nyawa

Dr Abdul Mukmin maut nahas motosikal dan kereta di Taiping hari ini.
Foto: FB Raja Nor Syamim
Dr Abdul Mukmin maut nahas motosikal dan kereta di Taiping hari ini. Foto: FB Raja Nor Syamim
A
A
A

TAIPING - Lebih tujuh jam bertarung nyawa, seorang doktor perubatan disahkan meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas di KM 13.6, Jalan Taiping - Kuala Sepetang di sini hari ini.

Mangsa, Abdul Mukmin Abdul Manan, 29, yang bertugas di Hospital Taiping menghembus nafas terakhir pada jam 8.22 malam ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave melanggar belakang kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu lelaki berusia 77 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengahari itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Taiping menghala ke Simpang.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta terbabit ingin membelok masuk ke simpang kiri menuju ke Jalan LTS Utama 2.

“Mangsa yang menunggang dari arah belakang telah terlanggar bahagian kiri kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Osman berkata, pihaknya menafikan insiden itu nahas langgar lari seperti yang didakwa netizen di laman sosial.

“Kedua-dua pihak telah membuat laporan kemalangan pada jam 1 petang. Jadi, ia bukan kes langgar lari,” katanya.

Artikel Berkaitan: