Amaran SPR untuk PRK Cameron Highlands

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRK Cameron Highlands agar mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk SPR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, setiap calon atau parti politik yang bertanding diingatkan tidak melakukan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya seperti aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan, program kerajaan serta aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.

Katanya, SPRM bersetuju untuk meletakkan pegawai dan anggota di kawasan panas untuk membanteras kegiatan membeli undi.

"Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Higlands: Peluang BN-PH hampir sama]

Menurutnya, sekiranya wujud pelanggaran undang-undang dan peraturan, aduan boleh dikemukakan kepada pihak berwajib.

"Pelanggaran undang-undang dan peraturan khususnya yang berkaitan dengan amalan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Akta SPRM," katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

"Lain-lain kesalahan sekiranya berlaku hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat diambil," katanya.

Sehubungan dengan itu, SPR menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada PRK Cameron Highlands, mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya selama 14 hari yang bermula dari Hari Penamaan Calon sehingga jam 11.59 malam, 25 Januari 2019.

"Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi.

"SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada hari mengundi semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang.

Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain," katanya.

Terdahulu Azhar bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan pengurusan tertinggi polis serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Mohd Shukri Abdull mengadakan perbincangan di Bukit Aman sebagai usaha menangani isu-isu yang berkaitan salah laku rasuah dan pelanggaran undang-undang berkaitan kempen pilihan raya.