Bumitra,TH anjur Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim

Ketua Pegawai Eksekutif, Azzuha Group Travel & Tours, Ustaz Abdul Malik Abdul Raman (tengah) menerima lesen PJH pada 6 Disember lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif, Azzuha Group Travel & Tours, Ustaz Abdul Malik Abdul Raman (tengah) menerima lesen PJH pada 6 Disember lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (Bumitra Malaysia) menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim bermula dari 19 Januari hingga 21 Januari ini bertempat di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA.

Naib Presiden Bumitra Malaysia, Kamarun Ab Rahman berkata, karnival selama tiga hari itu bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam dan 9 pagi hingga 6 petang pada 21 Januari.

Menurutnya, sejumlah 25 syarikat pelancongan bumiputera yang juga ahli persatuan Bumitra Malaysia telah diberi lesen oleh Lembaga Tabung Haji untuk mengendalikan pakej haji swasta musim ini.

“Kesemua 25 syarikat ini yang dikenali juga sebagai Pengelola Jemaah Haji atau PJH akan menyertai karnival ini untuk mempromosi pakej haji mereka.

“Pelbagai pakej ditawarkan bagi menunaikan haji melalui pakej swasta musim ini.

"Sejumlah 140 reruai sudah habis ditempah melibatkan pempamer dari Bank Islam, Malaysia Airlines, Saudi Tourism Board dan 25 syarikat pengelola jemaah haji,” katanya dalam kenyataan pada Rabu,

Difahamkan karnival itu bertujuan mendekati bakal Jemaah dengan maklumat terbaharu termasuk mengenali latarbelakang 25 syarikat pengelola Jemaah haji swasta, pakej-pakej yang ditawarkan bagi setiap PJH, harga pakej, hotel penginapan serta pembimbing jemaah ketika di tanah suci.

Suasana jemaah haji Malaysia ketika berada di Arafah
Suasana jemaah haji Malaysia ketika berada di Arafah

Artikel Berkaitan:

“Bakal jemaah boleh memilih pakej yang bersesuaian dengan bajet masing-masing di samping mendapat gambaran jelas suasana serta persiapan sebelum dan semasa menunaikan haji terus dari pempamer.

“Pelbagai program disediakan sebagai pengisian karnival ini, antaranya program haji Mabrur iaitu simulasi haji untuk kanak-kanak yang akan disertai oleh 40 orang kanak-kanak. program simulasi ini diadakan bagi memberi kefahaman dan kesedaran kepada kanak-kanak malah kepada ibu bapa akan perlunya persiapan dan ilmu sebelum mengerjakan haji,” katanya.

Kamarun berkata, bagi menarik pengunjung akan diadakan persembahan nasyid Rabbani serta majlis ilmu melalui program bual bicara.

“Sebanyak dua buah program bual bicara bakal berlangsung dengan tajuk Persediaan dan Cabaran Jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci dan Penipuan Pakej Haji - Implikasi dan Cabaran.

“Para panel adalah daripada TH sendiri, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Tribunal Tuntutan Pengguna dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dengan turut diadakan kuiz serta cabutan bertuah dengan hadiah utama pakej mengerjakan umrah.

Beliau yakin pengisian yang menarik semasa karnival ini akan memberi tambah nilai kepada bakal jemaah serta dapat menarik orang ramai dan para bakal jemaah mengunjungi karnival ini.

“Saya menjemput dan mengalu-alukan kehadiran pengunjung khususnya para bakal jemaah ke karnival haji, umrah dan pelancongan ini dengan harapan pengunjung akan dapat memilih pakej haji swasta yang bertepatan dengan bajet masing-masing.

"Jangan tunggu hari terakhir, datanglah jika boleh seawal mungkin.

“Di samping itu, untuk memudahkan pengunjung, Bumitra Malaysia juga mengadakan bazar karnival di perkarangan masjid KLIA iaitu bersebelahan dengan Movenpick.

“Bazar karnival ini menjual makanan dan minuman serta jualan pelbagai termasuk pakaian umrah dan haji, makanan kering dan lain-lain,” katanya.

Maklumat lanjut dan berkaitan dengan tempahan gerai boleh hubungi Nariza 019-2068260 atau Kamarun 019-2790121.