Malaysia duduki tangga ke-59 gaji minimum

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia menduduki tempat ke-59 daripada 67 negara dalam ranking gaji bersih minimum bagi Januari tahun ini iaitu sebanyak RM1,323 sebulan tanpa merekodkan sebarang peningkatan berbanding tahun lepas.

Menurut kajian dilakukan perkhidmatan beli-belah, Picodi Malaysia, ia juga mengkaji perbandingan gaji minimum dengan kenaikan harga barangan runcit asas dan kos sara hidup.

Malaysia menduduki tangga ke-59 daripada 67 negara dalam ranking gaji bersih minimum sebanyak RM1,323 oleh Picodi Malaysia.
Sumber infografik: Picodi Malaysia
Malaysia menduduki tangga ke-59 daripada 67 negara dalam ranking gaji bersih minimum sebanyak RM1,323 oleh Picodi Malaysia. Sumber infografik: Picodi Malaysia

Kata Picodi Malaysia, nilai bakul beli-belah pada Januari 2024 meningkat kepada 7.9 peratus berbanding Januari 2023.

“Sebakul produk makanan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan adalah berharga RM 437.58 iaitu 33.1 peratus daripada gaji minimum (tempat ke-48 dalam ranking).

“Pada awal tahun 2023, ia mencatatkan sebanyak 30.6 peratus daripada gaji minimum.

"Ini bermakna kenaikan gaji minimum Malaysia tidak seiring dengan kenaikan harga makanan,” kata badan itu dalam laporan bertajuk ‘Gaji minimum di seluruh dunia: Di manakah anda boleh hidup dengan gaji minimum?’ pada Selasa.

Lima negara yang menduduki lima anak tangga tertinggi dalam ranking peningkatan gaji bulanan minimum pada Januari 2024 ialah Argentina sebanyak 128.4 peratus atau AS$297 diikuti Turkiye (99.9 peratus/AS$596), Nigeria (83.3 peratus/AS$68), Pakistan, (29.3 peratus/AS$114) dan Maldova (23.1 peratus/AS$239).

Sementara itu, Indonesia mencatatkan peningkatan sebanyak 7.1 peratus atau AS$187 dan Thailand (2.4 peratus/AS$203).

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Picodi Malaysia menjelaskan, nisbah bakul runcit yang paling selesa kepada gaji minimum boleh didapati di United Kingdom, Ireland, Belanda, Luxembourg dan New Zealand.

Kata kajian itu, pekerja di negara berkenaan hanya membelanjakan kurang daripada satu per 10 daripada gaji minimum tempatan untuk membeli keperluan barangan runcit asas.

Picodi Malaysia dedah nilai bakul beli-belah pada Januari 2024 meningkat kepada 7.9 peratus berbanding Januari 2023. Sumber infografik: Picodi Malaysia
Picodi Malaysia dedah nilai bakul beli-belah pada Januari 2024 meningkat kepada 7.9 peratus berbanding Januari 2023. Sumber infografik: Picodi Malaysia

Jika ingin dibandingkan dengan negara tersebut, tidak dinafikan Malaysia jauh ketinggalan namun lebih tinggi daripada Pakistan (42.4 peratus), Indonesia (49.8 peratus), Thailand (54.4 peratus) dan Filipina (66.2 peratus).

Dalam pada itu, ada juga negara menggunakan lebih separuh daripada gaji minimum untuk membeli keperluan barangan runcit asas termasuk Kazakhstan dengan 54 peratus, India (58.5 peratus), Vietnam (65.6 peratus) dan Armenia (74.6 peratus).