'Kerajaan, pembangkang sama-sama bangunkan negara'

Danial Al-Rashid Haron.
Danial Al-Rashid Haron.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyelesaian menerusi meja rundingan dilihat kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu berbangkit di negara ini, termasuklah perkara yang melibatkan isu perkauman.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid Haron berkata, oleh itu beliau menggesa semua pihak di negara ini terutama pembangkang dan kerajaan untuk mengambil sikap berlapang dada dan berani duduk semeja berbincang bagi merungkai serta menyelesaikan isu berkenaan.

"Kalau kita betul-betul menggunakan meja rundingan ini sebagai jalan, kita boleh mengatasi segala masalah yang berlaku di dalam negara ini, kerana ia adalah jalan yang terbaik," katanya ketika menjadi panel Wacana Sinar yang bertajuk Jangan Jadi Politik Perkauman pada Selasa.

Katanya, pada akhirnya pembangkang dan kerajaan mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin membangunkan negara ini.

"Memberikan cadangan mahupun hujah di meja rundingan itu sebenarnya, membawa satu inspirasi bagaimana kesemua pihak, bahawa kita mahu membangunkan negara kita.

"Jadi semua pihak, hatta di pihak kami pun... kami juga pembangkang di empat negeri, boleh mengambil sikap yang sama, memberikan pandangan kepada kerajaan. Kalau perlu kepada diskusi mahupun perbincangan.

"Pihak kami bersedia bila-bila masa untuk berbincang apa sahaja, perkara yang dirasakan sesuai untuk bangunkan negara dan negeri kita ini, ia boleh dilaksanakan secara bersama," tegasnya.

Dalam pada itu, besar harapan beliau supaya budaya politik di negara ini pada masa hadapan bertambah baik dan cemerlang.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap generasi kedua boleh membawa arus pembaharuan, saya doakan juga politik Malaysia ke hadapan lebih baik dan saya sedia menggalas tanggungjawab pada masa akan datang," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!