Ketua Pemuda Pas Selangor akur tauliah mengajar ditarik MAIS

Mohamed Sukri
Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar akur dengan keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menarik tauliah mengajar agama di negeri tersebut.

Mohamed Sukri berkata, pihaknya telah menerima surat rasmi berhubung perkara itu dan patuh dengan arahan tersebut.

Menurutnya, pengalaman selama 11 tahun mengajar di masjid dan surau di Selangor akan diteruskan menggunakan medium lain yang lebih luas.

"Terima kasih atas kepercayaan Jawatankuasa masjid atau surau dan para jemaah. Jazakumullahu Khairan.

"Moga ALLAH SWT mengantikan yang lebih baik buat saya. Insya-ALLAH saya berbahagia mengenggam prinsip perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Mohon teman-teman doakan saya sentiasa, " kongsi beliau menerusi kenyataan di Facebook.

Pada perkongsian tersebut beliau turut memberi maklum balas berhubung penarikan tauliah tersebut.

"Sebab bertanding..Ahli politik memang kena tarik tauliah," balas beliau di ruangan komen atas persoalan ditanya salah seorang pengikut berkenaan punca tauliah mengajar ditarik.

Banyak komen positif ditinggalkan menerusi hantaran tersebut antaranya Mohd Nazir yang mendoakan urusan Mohamed Sukri dipermudah.

Artikel Berkaitan:

"Semoga ALLAH SWT permudahkan segala urusan dan apa jua kaedah untuk memastikan masyarakat tidak jahil dlm kehidupan....Semoga ALLAH SWT membalas dengan kebaikan," tulisnya di ruangan komen.

Mohamed Sukri menjadi calon Perikatan Nasional (PN) Kota Anggerik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos lalu.

PRN Kota Anggerik menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitka Mohamed Sukri dan calon Muda, Azad Akbar tewas kepada Mohd Najwan Halimi (PH-PKR) dengan majoriti 10,834.