Guru wanita dalam perjalanan ke sekolah disamun

Kenderaan mangsa telah dirempuh dari arah belakang sebelum mangsa keluar kenderaan dan disamun. Gambar hiasan Foto 123rf
Kenderaan mangsa telah dirempuh dari arah belakang sebelum mangsa keluar kenderaan dan disamun. Gambar hiasan Foto 123rf
A
A
A
SANDAKAN - Seorang guru wanita berdepan detik cemas apabila disamun dalam kejadian berhampiran simpang masuk Jambatan Merah Jalan Utara di sini, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM2,000.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang memandu kenderaan dalam perjalanan dari Taman Megah ke tempatnya mengajar.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Camry.

"Mangsa kemudian berhenti di tepi jalan lalu turun dari kenderaannya untuk bertemu dengan pemandu yang telah melanggar keretanya.



"Bagaimanapun, pemandu tersebut telah memukul mangsa dengan sebatang kayu namun sempat dielak dan berlaku pergelutan. Suspek kemudian berjaya mendapatkan beg tangan mangsa sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah ke Balai Polis Sandakan untuk membuat laporan.

"Susulan laporan itu, pihak polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/297 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh berhubung terus kepada pegawai penyiasat Asistan Superintenden Kharuddin di talian 013-9071709 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: