MITI raih pelaburan berpotensi RM2.84 bilion dari Itali

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperoleh potensi pelaburan sejumlah RM2.84 bilion dan potensi eksport produk dan perkhidmatan Malaysia sebanyak RM500 juta daripada misi perdagangan dan pelaburannya ke Milan dan Turin, Itali, yang berlangsung dari 12 hingga 16 Januari.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang mengetuai misi tersebut bertemu dengan syarikat terkemuka Itali dalam sektor automotif, aeroangkasa, semikonduktor, makanan, biofuel serta jentera dan peralatan dan mencapai kemajuan penting dalam memupuk hubungan ekonomi serta menarik potensi pelaburan dan perdagangan.

Antara syarikat utama tersebut termasuklah STMicroelectronics, EDA Industries serta Leonardo’s Helicopter and Aircraft Divisions.

"Semasa mesyuarat bersemuka tertutup, syarikat-syarikat ini mengemukakan rancangan pelaburan mereka di Malaysia dan menunjukkan komitmen untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu bagi pindahan pengetahuan dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi di negara ini.

"Misi itu juga mengadakan lawatan ke kilang Leonardo Helicopter and Aircraft Divisions di Milan dan Turin.

"Pemain global dalam industri aeroangkasa menyatakan minatnya untuk meneroka usaha niaga baharu di Malaysia n," kata MITI dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut kementerian itu, dari segi potensi eksport, Tengku Zafrul juga bertemu dengan Fererro International S.A, syarikat utama dalam pengeluaran makanan berasaskan coklat dan koko dan ENI Trade and Biofuels S.p.A, anak syarikat ENI S.p.A, yang merupakan salah satu syarikat petroleum dan gas terbesar di Itali.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, perkongsian yang bakal terjalin itu juga akan memberi sumbangan besar kepada usaha Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi teknologi dan inovasi termaju.

Artikel Berkaitan:

"Hasil daripada misi itu mencerminkan komitmen kita untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

"MITI dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan memastikan kejayaan merealisasikan potensi pelaburan dan eksport ini, yang merupakan kunci ke arah memupuk pertumbuhan ekonomi mampan di Malaysia, seperti yang dirancangkan dalam Pelan Induk Perindustrian (NIMP) 2030," katanya. - Bernama