SAR lelaki hilang ketika memancing diteruskan

SAR masih dijalankan bagi mengesan mangsa yang masih hilang. Foto BBP Pontian
SAR masih dijalankan bagi mengesan mangsa yang masih hilang. Foto BBP Pontian
A
A
A

PONTIAN – Usaha mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di tepian Medan Selera Pekan Benut, Pontian pada malam Isnin diteruskan hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib, usaha pencarian melibatkan pasukan bomba dan penyelamat serta pasukan Marin Wilayah 2 Kukup terpaksa dihentikan semalam susulan keadaan gelap selain air berpusar.

“Sekitar jam 9.10 malam Isnin, kita menerima panggilan dari MERS999 memaklumkan dua lelaki yang sedang memancing di tepian Medan Selera Pesisiran Sungai Benut terjatuh ke dalam Sungai Benut.

“Bagaimanapun, seorang daripada mangsa berjaya diselamatkan seorang lelaki yang sedang memancing di kawasan berkenaan manakala seorang lagi mangsa masih hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, identiti mangsa yang diselamatkan tidak dapat diperoleh kerana lelaki terbabit menghilangkan diri sebelum agensi penyelamat tiba ke lokasi kejadian.

“Usaha menyelamat masih diteruskan hari ini dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, menurut Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd Jalil dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, seramai 11 anggota daripada BBP Pontian dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari BBP Skudai selain satu jentera fire rescue tender (FRT), jentera Rapid Rescue Vechicle (RRV), satu Hilux, satu Kembara dan satu bot aluminium dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Operasi mencari mangsa dijalankan oleh PKO dengan teknik surface searching dan selaman oleh pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan sehingga kini, kerja-kerja pencarian masih dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan: