Feri di Pulau Pinang percuma selama 50 jam sempena Thaipusam

Perkhidmatan feri di Pulau Pinang akan diberikan secara percuma selama 55 jam bermula 24 Januari ini.
Perkhidmatan feri di Pulau Pinang akan diberikan secara percuma selama 55 jam bermula 24 Januari ini.
A
A
A

SEBERANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Perkhidmatan feri di Pulau Pinang akan diberikan secara percuma selama 50 jam bermula 12.01 tengah malam, 24 Januari sehingga 2 pagi, 26 Januari sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 25 Januari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kementerian Pengangkutan telah meminta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk memberikan perkhidmatan feri secara percuma selama dua hari.

Menurutnya, pemberian perkhidmatan percuma itu adalah pertama kali secara 24 jam dilaksanakan sempena sambutan Thaipusam.

"Kita menjangkakan ramai penganut agama Hindu akan ke bahagian pulau untuk menyambut Thaipusam. Dengan perkhidmatan percuma ini kita harapkan ia membantu memudahkan pergerakan.

"Feri ini akan beroperasi 24 jam bermula 24 Januari sehingga 25 Januari manakala 26 Januari, ia akan beroperasi sehingga 2 pagi. Kita berharap, ia akan memberi satu kemudahan kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Anthony sebelum itu menghadiri majlis menandatangani memorandum antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi pembangunan di atas sebahagian Lot 286, 65 dan 67 Bandar Perai.

Anthony (dua dari kiri) mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang akan diberikan secara percuma bermula jam 12.01 tengah malam 24 Januari hingga 2 pagi 26 Januari ini.
Anthony (dua dari kiri) mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang akan diberikan secara percuma bermula jam 12.01 tengah malam 24 Januari hingga 2 pagi 26 Januari ini.

Kata Anthony, penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri juga disediakan bas perantara secara percuma untuk ke kuil di Kebun Bunga.

Artikel Berkaitan:

"Penumpang yang tiba di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), kita akan menyediakan bas perantara percuma yang mana, bas akan melalui di kawasan-kawasan penganut Hindu bersembahyang, destinasi akhir adalah di Kuil Kebun Bunga.

"Bas perantara ini akan beroperasi bermula jam 2 petang, 24 Januari dan jam 5.30 pagi hingga 1 pagi (25 Januari).

"Ini akan memudahkan khususnya penduduk di Seberang Perai untuk pergi ke kawasan pulau tanpa menggunakan kereta, mereka hanya perlu pergi ke terminal feri untuk ke bahagian pulau," katanya.

Kata beliau, inisiatif ini diharap dapat digunakan sebaiknya oleh masyarakat khususnya penganut agama Hindu.

"SPPP dan PPSB akan kehilangan hasil selama dua hari ini, tetapi itu antara syarat yang kita kenakan antara SPPP dan PPSB sebagai operator, dalam setahun ada beberapa hari yang kita akan bagi perkhidmatan secara percuma termasuk Thaipusam.

"Kita akan umumkan dari semasa ke semasa perkhidmatan percuma yang akan disediakan ketika perayaan utama. Dengan pemberian perkhidmatan percuma ini, kita harap ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas ketika sambutan Thaipusam itu nanti," katanya.

Tambah Anthony, pemberian perkhidmatan percuma itu adalah pelaksanaan percubaan dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Langkah ini adalah satu percubaan dan jika ini berjaya mengurangkan kesesakan, mungkin untuk perayaan-perayaan utama yang lain, kita akan cuba pendekatan yang sama," katanya.

Sebelum ini, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan memberikan tambang percuma kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari ini sempena perayaan Thaipusam.

Tambang percuma itu akan diberikan semasa penumpang membuat imbasan masuk dan keluar di pintu automatik (ACG) stesen destinasi dalam tempoh berkenaan.

Selain inisiatif itu, perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan beroperasi tanpa henti selama empat hari bermula 23 sehingga 26 Januari, dengan 28 stesen beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut berbanding 26 stesen pada tahun lepas.