'Pecut lebih laju ke Paris 2024'

Hannah
Hannah
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menuntut para atlet Podium 'memecut lebih laju' dalam perjalanan meraih tiket Sukan Olimpik Paris 2024 yang berbaki 193 hari lagi.

Beliau mahu para atlet negara mengambil serius cabaran tersebut kerana ia merupakan peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.

Malah, beliau juga tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa di atas kegagalan skuad badminton negara dalam saingan Terbuka Malaysia yang menutup tirai pada Ahad.

Ia susulan perjalanan para pemain negara hanya bertahan pada peringkat suku akhir setelah beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas kepada lawan masing-masing pada Jumaat.

"Tentu pasti kecewa, kerana ini adalah tahun kedua di mana perlawanan akhir tak ada atlet kita. Saya nak semua atlet podium kita, bukan sahaja badminton, tapi semua.

"Saya nak semua bertungkus lumus untuk pastikan satu, mereka layak dan keduanya, mereka betul-betul serius mengambil peluang ini (Olimpik).

"Peluang ini bukan semua orang dapat dan bukan semestinya boleh pergi kali kedua nanti di Los Angeles. Itu sebab mereka kena ambil peluang ini dan betul-betul serius dalam latihan," katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Hannah menegaskan para atlet Podium bakal menikmati gaji tetap minimum RM1,500 sebulan dan pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Sekarang kita sudah sign untuk gaji, kontrak dengan semua atlet, mereka mesti melihat bahawa latihan sahaja tidak cukup.

"Semua rakyat Malaysia mendoakan, mereka nak tengok hasil, jadi kita sudah tak banyak masa lagi sebelum ke Sukan Olimpik Paris," katanya.

Lima atlet negara yang sudah mengesahkan slot Olimpik ialah Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Bertrand Rhodict Lises (terjun), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!