Tujuh konsortium hantar cadangan HSR KL-Singapura kepada MyHSR Corp

Tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa telah mengemukakan cadangan konsep untuk projek HSR KL-Singapura kepada MyHSR Corp menjelang tarikh akhir hari ini. Foto fail Bernama
Tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa telah mengemukakan cadangan konsep untuk projek HSR KL-Singapura kepada MyHSR Corp menjelang tarikh akhir hari ini. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa, terdiri daripada 31 firma yang mewakili spektrum penuh projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura) telah mengemukakan cadangan konsep kepada MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) menjelang tarikh akhir hari ini.

Pengerusi, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, hasil daripada penilaian Proses Permintaan Maklumat (RFI) akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Kabinet untuk pertimbangan.

"Sekiranya maklum balas positif, kita akan beralih ke fasa kedua dengan peringkat Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi mendapatkan cadangan terperinci daripada konsortium terpilih," katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan konsep untuk projek HSR telah dikemukakan sebagai tindak balas kepada langkah RFI yang dilancarkan MyHSR Corp pada Julai 2023 untuk mempelawa pemain tempatan serta antarabangsa daripada sektor swasta bagi menyampaikan projek berdasarkan inisiatif perkongsian awam-swasta mengenai reka bentuk-kewangan-bina-kendali-pindah (DFBOT).

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura telah mengumumkan penamatan projek HSR selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pada 4 Ogos 2023 bahawa Malaysia akan mengemukakan cadangan baharu berhubung projek HSR kepada Singapura selepas keputusan awal mengenainya dibuat oleh kerajaan.

Beliau berkata cadangan baharu itu kemudiannya akan disampaikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke kepada Singapura untuk dipertimbangkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: