Empat gerai makanan, kereta, motosikal musnah dalam kebakaran

Tangkap layar video kebakaran yang dikongsi pengguna media sosial.
Tangkap layar video kebakaran yang dikongsi pengguna media sosial.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Empat gerai makanan, dua motosikal dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran di Astaka Bandar Perda, di sini pada Isnin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.59 pagi dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda terus ke lokasi kebakaran.

"Sebaik pihak bomba sampai didapati api sedang marak dan kebakaran itu melibatkan empat gerai makanan di medan selera tersebut.

"Turut terbakar sebuah kereta jenis Honda City dan dua motosikal jenis Yamaha Y16 serta Modenas Kriss yang diletakkan berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa atau kemalangan jiwa dalam kebakaran itu kerana peniaga serta pelanggan yang berada di medan selera tersebut sempat menyelamatkan diri.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke gerai lain pada 12.15 tengah hari dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: