Penghantar makanan dakwa dihimpit diberkas rosakkan kereta

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Berang mendakwa dihimpit sehingga hampir terjatuh, seorang penghantar makanan bertindak mengejar sebelum merosakkan sebuah kereta dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.03 petang ketika mangsa seorang lelaki berumur 55 tahun sedang memandu di lokasi kejadian.

"Mangsa didatangi sebuah motosikal ditunggang suspek bersama anaknya sebelum suspek bertindak mengarahkan mangsa supaya memberhentikan kenderaan yang dipandu.

"Suspek kemudian mengeluarkan kata-kata kesat serta memukul pintu kenderaan sebelah penumpang hadapan dengan menggunakan topi keledar dan mendakwa mangsa telah menghimpit motosikalnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan suspek oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Ampang Jaya.

"Suspek berumur 45 tahun itu diberkas bersama topi keledar dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah manakala saringan dijalankan mendapati suspek bebas dari pengambilan dadah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: