Kekal sekolah DLP sepenuhnya - PAGE

PAGE dalam satu kenyataan pada Isnin, menggesa KPM untuk mengekalkan sekolah Program Dwibahasa (DLP) sepenuhnya.
PAGE dalam satu kenyataan pada Isnin, menggesa KPM untuk mengekalkan sekolah Program Dwibahasa (DLP) sepenuhnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan sekolah Program Dwibahasa (DLP) sepenuhnya.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abd Rahim berkata, ia berikutan pertukaran sekolah yang menawarkan DLP kepada bukan DLP memberi cabaran kepada ibu bapa apabila ia dilakukan dalam tempoh semalaman tanpa kenyataan bertulis secara rasmi.

“Arahan diberikan melalui aplikasi WhatsApp tanpa menyertakan apa-apa dokumen sokongan bertulis secara rasmi. Buku teks dalam bahasa Inggeris telah diambil dan digantikan dengan bahasa Melayu atau Tamil.

“Ibu bapa meminta bantuan PAGE apabila surat rayuan ditulis oleh pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak diendahkan. Akhirnya kami terpaksa ke Parlimen untuk mendapatkan perintah yang dibatalkan oleh Menteri Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 21 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi termasuk penguasaan bahasa Melayu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pada masa yang sama, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular.

Menurutnya, ini kerana, lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

Sementara itu, Noor Azimah turut berkongsi empat permohonan lain iaitu menghormati pilihan ibu bapa, berlaku adil dan saksama dengan pilihan DLP.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya, menambah bilangan sekolah, kelas dan murid untuk mengikuti DLP. Kemudian, mengelakkan daripada mewajibkan pembukaan kelas bukan DLP secara paksaan pada tahun 2024 serta elak kekeliruan dalam pelaksanaan program itu di peringkat KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Royal Selangor International Sdn Bhd, Tan Sri Yong Poh Kon berkata, banyak kajian telah menunjukkan bahawa lepasan sekolah atau graduan mahir dalam bahasa Inggeris memperoleh pendapatan lebih daripada mereka yang tidak mahir.

Katanya, 68 peratus majikan dalam tinjauan mengatakan mereka telah menolak pengambilan pekerja baharu yang berpotensi kerana penguasaan bahasa yang lemah.

Jelas beliau, 91 peratus majikan yang ditemu bual mengatakan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa perniagaan.

“Tiada siapa yang mempertikaikan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita dan kedudukannya termaktub dalam Perlembagaan.

“Namun begitu, kita juga tidak boleh mengabaikan bahawa dalam era digital baru ini, ledakan pengetahuan saintifik dan teknologi terutamanya dalam bahasa Inggeris,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Poh Kon berkata, kunci untuk meningkatkan penguasaan itu melalui meningkatkan masa pembelajaran bahasa Inggeris daripada 35 peratus kepada 45 peratus dalam tempoh seminggu.