Hargai sumbangan A Samad sebagai legenda negara sebenar - Tokoh Wartawan

Johan ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Simposium memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan,Cendekiawan Awam dan Negarawan di UiTM. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Johan ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Simposium memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan,Cendekiawan Awam dan Negarawan di UiTM. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar mencadangkan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) mewujudkan kursi kewartawanan, kecendekiawanan dan kenegarawanan A Samad Ismail bagi menghargai berkenaan.

Beliau berkata, ia merupakan peluang untuk menghargai sumbangan Allahyarham dalam pelbagai bidang dan pencapaian yang tidak terjangkau oleh orang lain,termasuk hal 'terlalu pahit' yang pernah dilalui negarawan itu.

"Pak Samad tidak ada yang lain. The one and only (hanya satu-satunya). Insya-ALLAH kita akan mengekalkan legasi beliau sebagai wartawan, cendekiawan dan negarawan.

"Maka menjadi tugas kita untuk membalas jasa, menghargai, menghormati sumbangannya selain menempatkan beliau di tempat yang sebenarnya sebagai hero, ikon serta legenda negara yang sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan di UiTM Shah Alam pada Isnin.

Simposium anjuran UiTM bersama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC – IIUM) itu membincangkan pemikiran dan sumbangan tokoh berkenaan dalam konteks sosio-politik Malaysia.

Program itu turut menampilkan kartunis tersohor negara, Datuk Mohamad Nor Khalid (Datuk Lat) dan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual ISTAC-IIUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang berkongsi pelbagai perspektif mengenai A Samad.

Turut berkongsi pandangan adalah sembilan pembentang lain terdiri daripada ilmuan, pengamal media, penulis dan bekas pelajar yang berpengalaman berhubung, bekerjasama serta melakukan penyelidikan dengan A Samad sepanjang hayatnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Johan turut berkongsi pengalamannya bersama A Samad serta bagaimana tokoh itu memberi impak terhadap kehidupannya.

"Sekiranya ada individu yang banyak mencorakkan saya, Pak Samad adalah salah seorang daripadanya.

"Saya terhutang budi padanya dalam banyak hal, salah satunya sebab beliau memberikan nyawa intelektual pada saya semula selepas tersingkir daripada Utusan Melayu ekoran krisis (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Kita sebenarnya masih jauh dari mengenali manusia yang kita raikan ini. Bagi saya, ia merupakan pencarian yang belum berakhir. Pak Samad bukan buat apa yang dilakukannya kerana nama atau pengiktirafan," ujarnya.