Krisis Laut Merah, syarikat perkapalan Malaysia turut terjejas

FMM mencadangkan agar syarikat perkapalan menyediakan tempahan kontena dan jadual penghantaran sebaik-baiknya sebulan lebih awal untuk eksport ke pasaran yang terjejas. - Gambar hiasan
FMM mencadangkan agar syarikat perkapalan menyediakan tempahan kontena dan jadual penghantaran sebaik-baiknya sebulan lebih awal untuk eksport ke pasaran yang terjejas. - Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa syarikat perkapalan Malaysia bersedia menghadapi gangguan berpanjangan yang berlaku di Laut Merah, berikutan krisis keselamatan semakin buruk di rantau itu sehingga memaksa syarikat kapal melencongkan kapal masing-masing ke laluan yang lebih panjang.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai menggesa syarikat perkapalan -- termasuk pengeksport dan pengimport-- supaya meneliti strategi perniagaan masing-masing untuk melindungi rantaian bekalan, meminimumkan kelewatan bagi memenuhi permintaan pelanggan di samping mengurangkan impak situasi di Laut Merah.

Beliau berkata, memandangkan kadar tambang turun naik dan tempoh transit yang tidak menentu, FMM mencadangkan agar syarikat perkapalan menyediakan tempahan kontena dan jadual penghantaran sebaik-baiknya sebulan lebih awal untuk eksport ke pasaran yang terjejas.



"Bagi barangan yang tidak terjejas dengan masa, syarikat dinasihatkan supaya menunggu sehingga beberapa minggu pertama Februari semasa cuti Tahun Baharu Cina kerana kos pengangkutan dijangka lebih rendah dalam tempoh ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, FMM menyarankan syarikat perkapalan supaya akur dengan kadar tambang pratempah yang diberikan kepada syarikat perkapalan Malaysia, tanpa pelarasan.

"Sebarang pengumuman mengenai kenaikan baharu kadar tambang atau pengenalan surcaj perlu dimaklumkan secara telus dan dirundingkan secara terus dengan syarikat perkapalan untuk membolehkan pengeksport merancang dan berunding dengan pengimport mereka,” katanya.

Thian Lai berkata selain itu, FMM juga mengesyorkan supaya pengilang mengalihkan pergantungan mereka kepada ASEAN dengan pendekatan mengutamakan negara jiran dan mendapatkan sumber dari dalam rantau ASEAN.

Langkah itu bukan sahaja mengenai penjimatan kos malah juga jaminan rantaian bekalan ekoran ketidaktentuan geopolitik, katanya.

Beliau berkata tahap pembangunan ekonomi yang berbeza-beza di ASEAN dan pengkhususan industri di setiap negara membolehkan pelengkapan yang lebih besar antara negara anggota ASEAN.

"Memandangkan rantaian bekalan ASEAN juga amat disepadukan dengan negara jiran Asia Timur Laut, syarikat pembuatan Malaysia boleh membina daya tahan dengan bekerjasama rapat dengan rakan pembuatan ASEAN, bukan sahaja sebagai sumber input dan pasaran untuk eksport Malaysia malah juga penyepaduan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh.
Artikel Berkaitan:


"Mereka boleh berbuat demikian dengan memanfaatkan Perjanjian Perkongsian Komprehensif Serantau, dengan ASEAN adalah teras, dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik,” katanya.

Thian Lai berkata, pengilang juga perlu mempertimbangkan beberapa cara pengangkutan -- laut, udara, kereta api dan jalan raya -- untuk mengoptimumkan laluan penghantaran bagi mengurangkan kelewatan dan kos penghantaran.

Beliau berkata, walaupun pengangkutan udara mungkin tidak dapat memenuhi jumlah kargo yang besar namun, mod pengangkutan itu masih boleh menawarkan lebih fleksibiliti dan secara eksponen mengurangkan masa transit untuk penghantaran segera kargo bernilai tinggi.

"Ketika kita melangkah maju dalam tahun ini, gangguan perkapalan yang berpunca daripada krisis Laut Merah mungkin ditambah dengan ancaman lain seperti peristiwa cuaca ekstrem atau ketegangan geopolitik yang berubah-ubah, akan menjejaskan lagi rantaian bekalan global yang sudah tertekan.

"FMM menggesa kerajaan supaya sentiasa memantau situasi ini bagi memastikan impaknya tidak meningkat dan membebankan lagi perniagaan dan ekonomi,” katanya. - Bernama