Kes kanser di Malaysia meningkat

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA – Terdapat peningkatan bilangan kes baharu kanser dikesan dalam tempoh lima tahun bermula 2012 hingga 2016 iaitu 115, 238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 10 jenis kanser tertinggi dikesan dihidapi rakyat negara ini bagi tempoh 2012 hingga 2016 ialah payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari.

Menurutnya, peningkatan bilangan kes itu diukur dengan kadar insiden (Age Standardised Incidence Rate) sebanyak 86 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan.

“Bagi tujuan ini, Institut Kanser Negara telah menerbitkan laporan 5 tahun kedua, Malaysia National Cancer Registry Report 2012 hingga 2016 (MNCRR) yang merupakan kesinambungan kepada laporan pertama MNCRR 2007 hingga 2011 yang diterbitkan pada tahun 2016.

"Kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia pada tahun 2018 menyumbang kepada 9.6 juta kematian di dunia dan 16,000 kematian di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, analisis mendapati ramai lelaki menghidap kanser kolorektal diikuti oleh kanser paru-paru dan kelenjar prostat manakala kanser payudara diikuti kanser kolorektal dan pangkal Rahim dalam kalangan perempuan.

“Kanser paling kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun pula ialah leukemia dan kanser sistem saraf tunjang, manakala dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 24 tahun adalah limfoma.

“Kanser pangkal rahim menurun dengan ketara iaitu dari lapan kes kepada enam kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Penurunan ini berkemungkinan disebabkan oleh kempen pengesanan awal melalui ujian pap smear yang disediakan oleh kerajaan di semua fasiliti kesihatan.

"Bagaimanapun, terdapat peningkatan insiden yang ketara pula dilihat untuk kanser payudara dan kolorektal,” katanya.

Dalam pada itu, kata Noor Hisham, analisis mengikut etnik pula menunjukkan kaum Cina paling kerap dikesan menghidap kanser diikuti kaum Melayu dan India.

“Untuk setiap 100,000 populasi berbangsa Cina didapati 106 lelaki dan 117 perempuan menghidap kanser manakala dalam kalangan kaum Melayu, lelaki dan perempuan masing-masing menunjukkan kadar insiden sebanyak 74 kes dan 91 kes bagi setiap 100,000 populasi.

“Bagi kaum India, kadar insiden yang dicatatkan adalah sebanyak 67 kes lelaki dan 107 kes perempuan bagi setiap 100,000 populasi.

"Jika dibandingkan dengan laporan pertama, terdapat penurunan kadar insiden dalam kalangan kaum Cina dan India sementara peningkatan kadar insiden dilihat dalam kalangan kaum Melayu,” katanya.

Tambah beliau lagi, terdapat kes kanser yang dikesan lewat pada tahap tiga dan empat didapati meningkat dari 58.7 peratus pada tahun 2007 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada tahun 2012 hingga 2016 yang didedahkan melalui kajian ‘Malaysian Study on Cancer Survival’ yang diterbitkan pada Oktober 2018.

“Secara keseluruhan, kementerian merumuskan terdapat peningkatan beban kanser dalam kalangan penduduk Malaysia.

"Maklumat ini perlu dimanfaatkan oleh semua pihak yang berkepentingan dalam perancangan dan penilaian keberkesanan program kawalan dan pencegahan kanser,” katanya.