Se Young lakar sejarah buat Korea dengan gelaran Terbuka Malaysia

Se Young menjuarai perlawanan akhir selepas menentang pemain Taiwan, Tzu Ying pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad. Foto Bernama
Se Young menjuarai perlawanan akhir selepas menentang pemain Taiwan, Tzu Ying pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN wanita nombor satu dunia, An Se Young mencatatkan sejarah sebagai pemain Korea Selatan pertama memenangi gelaran dalam acara perseorangan pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia sejak perlawanan itu mula diadakan pada 1937, hari ini.

Juara dunia berusia 21 tahun itu meraih kejayaan selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan juara empat kali, Tai Tzu Ying dari Taiwan 10-21, 21-10, 21-18 pada perlawanan akhir di Axiata Arena yang dipenuhi penonton di sini.

Selain berjaya menebus kekecewaan tahun lepas terhadap Akane Yamaguchi dari Jepun pada final, Se Young juga membalas dendam kekalahannya kepada Tzu Ying dalam separuh akhir pada Final Jelajah Dunia bulan lepas.

Sebagai juara, Se Young membawa pulang pingat, trofi dan hadiah wang tunai AS$91,000 (kira-kira RM422,877), manakala Tzu Ying menerima AS$44,200 (anggaran RM205,397) selain pingat dan trofi.

Bercakap kepada pemberita selepas kejayaan itu, Se Young yang kelihatan gembira dengan kemenangan bersejarah untuk Korea berkata, beliau akan terus memberi tumpuan kepada pemulihan daripada kecederaan lutut yang dialaminya pada Oktober tahun lepas untuk bersedia sepenuhnya menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

"Ia merupakan permulaan yang baik tahun ini menuju Sukan Olimpik. Kecederaan ini masih mengganggu saya kerana hanya pulih 70 peratus, jadi saya akan fokus untuk kembali cergas sepenuhnya dan akan memutuskan kejohanan seterusnya selepas berbincang dengan jurulatih.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana dianggap sebagai pemain kegemaran untuk menjuarai Olimpik, namun sukar untuk meletakkan jangkaan pada kejohanan yang besar sebegini. Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada diri sendiri terlebih dahulu," kata Pemain Wanita Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang meraih 11 gelaran pada 2023.

Aksi Se Young meraikan kemenangan selepas menewaskan Tzu Ying pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto Bernama
Aksi Se Young meraikan kemenangan selepas menewaskan Tzu Ying pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Pemain Korea Selatan telah memenangi gelaran Terbuka Malaysia dalam acara lelaki, wanita dan beregu campuran, namun gelaran bagi perseorangan lelaki dan wanita sukar dicapai sehinggalah Se Young memecahkan kebuntuan itu.

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Tzu Ying agak kecewa kerana gagal mendapatkan gelaran Terbuka Malaysia kelima sebelum bersara pada penghujung tahun ini.

"Saya sentiasa seronok bermain di Malaysia kerana sukakan sokongan daripada peminat di sini. Malah, mereka juga bersorak untuk saya berjuang sehingga titik terakhir apabila saya ketinggalan. Kejohanan ini mungkin yang terakhir buat saya di Malaysia.

"Se Young semestinya pemain yang perlu ditewaskan bukan hanya semasa Olimpik, tetapi juga dalam semua kejohanan. Keutamaan saya sekarang ialah kekal sihat dan cergas untuk menghadapi temasya Olimpik kerana ramai pemain yang cedera menjelang akhir tahun lepas," kata pemain berusia 29 tahun itu yang memenangi mahkota Terbuka Malaysia pada 2013, 2017, 2018 dan 2019.

Tzu Ying mara ke peringkat akhir selepas menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut ketika berdepan juara Olimpik Tokyo 2020 Chen Yu Fei dari China sebelum ini, dengan kemenangan 17-21, 21-15, 21-18, manakala Se Young menyingkirkan pemain nombor 17 dunia Zhang Yi Man dari China 21-17, 21-11 dalam satu lagi separuh akhir. - Bernama