Aminuddin terima gelaran Datuk Seri Utama

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mendahului senarai 473 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-76 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Ahad.

Ahli Parlimen Port Dickson, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, itu dianugerahkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Lima individu dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk iaitu Mufti Kerajaan Negeri, Profesor Madya Dr Faudzinaim Badaruddin dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin.

Turut menerima anugerah itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Seremban, Datin Rohani Ismail.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman; ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali; ADUN Johol, Saiful Yazan Sulaiman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Dr Roslan Hussin pula antara 22 penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) kepada 14 penerima, Darjah Pekerti Terpilih (DPT) (22 penerima) dan Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) (62).

Selain itu, tujuh individu dikurniakan Setiawan Tuanku Muhriz (STM), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) (112), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (194), Bentara Tuanku Muhriz (BTM) (23) dan Pingat Khidmat Lama (PKL) (10).

Artikel Berkaitan:

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini bagi sesi pertama manakala sesi kedua pada 22 Januari dan sesi ketiga pada 29 Januari.

PM ucap tahniah sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan ucapan tahniah sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-76 Tuanku Muhriz pada Ahad.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar mendoakan semoga Tuanku Muhriz, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberi keafiatan, kesejahteraan dan penuh kedaulatan. - Bernama