'Terima kasih semua. Jalan terus': Maszlee

-Foto Facebook Maszlee
-Foto Facebook Maszlee
A
A
A

SHAH ALAM - “Terima kasih semua. Jalan terus!” demikian status ringkas bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Dalam status tersebut, beliau turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan beliau mendukung seorang pelajar yang sedang tersenyum gembira tatkala melekapkan pipinya ke pipi Maszlee.

Wajah Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga jelas kelihatan gembira dan semua yang berada di dalam gambar itu yang tertera tulisan “Terima Kasih” juga menunjukkan reaksi sama.

Zahirnya kelihatan gembira namun mungkin jauh di sudut hati, ada kesedihan terbuku di hati Maszlee apatah lagi selepas beliau bersungguh-sungguh mereformasikan sistem pendidikan negara agar menjadi lebih baik.

Meskipun hanya lima perkataan, ternyata status individu yang menggemparkan negara semalam meruntun hati ribuan rakyat Malaysia.

Tidak sampai dua jam beliau memuat naik status berkenaan, lebih 23,000 warganet memberikan reaksi terhadap ‘posting’ itu malah lebih 2,000 komen dicatatkan.

Kebanyakannya menyatakan sokongan kepada Maszlee bahkan ada yang melabelkan beliau sebagai antara Menteri Pendidikan terbaik yang pernah Malaysia miliki.

“Bagi saya secara peribadi tuan adalah menteri pendidikan terbaik malaysia zaman ini setanding dengan menteri pelajaran legenda, Tun Rahman Ya’kub.

Artikel Berkaitan:

“Persamaan tuan dengan Tun Rahman Ya’kub adalah berkhidmat tidak lama namun kesannya mendalam kepada warga Malaysia,” tulis Khairul Anwar Anwar.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen 'salute' Maszlee letak jawatan Menteri Pendidikan

Ummi Yahaya pula mendoakan agar segala urusan Maszlee dipermudahkan selepas ini dan mendoakan beliau agar terus maju jaya.

“Terima kasih YB (Yang Berhormat). Kami doakan YB terus maju jaya. Dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat,” tulisnya.

Maszlee semalam dalam satu sidang akhbar di Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuknya mengemudi KPM.

Maszlee adalah bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Mac 2018, sebelum dipilih menjadi calon di Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau memperoleh 18,157 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Liang Teck Meng yang menerima 14,682 undi serta calon Pas, Mohd Jubri Selamat (2,983 undi), sekali gus menang dengan majoriti 3,475 undi.