Seorang maut, enam cedera bas ekspres dua tingkat terbakar

Sebuah bas persiapan terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi Sabtu.
Sebuah bas persiapan terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang penumpang maut, manakala enam lagi cedera selepas bas pelancong yang dinaiki mereka terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, dipercayai seramai 30 penumpang menaiki bas ekspres dua tingkat dan kesemua mereka adalah warga Singapura.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Timbalan Penguasa Bomba II (KUP) Zahrul Azha Mokhtar berkata, seramai 21 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.55 pagi.

"Sejurus tiba 11 minit kemudian, kita mendapati bas tersebut telah terbakar sepenuhnya dan dimaklumkan kenderaan itu melanggar sebuah motosikal yang terbabas sebelum kejadian.

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Dipercayai terdapat 30 mangsa dengan enam daripadanya cedera dan dihantar ke hospital menaiki jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), ambulans St John dan kenderaan orang awam," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Jelasnya, pasukan bomba turut bertindak mencari dan mengesan mangsa lain di bahagian bawah bas dan sepanjang laluan lebuh raya sejauh 150 meter.

"Namun selepas membuat pemeriksaan, tiada mangsa lain ditemui dan pasukan bergerak pulang ke balai," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu yang dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan memaklumkan seorang penumpang maut akibat terbakar.

Ujar beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan sedang menunggu maklumat lanjut dari pegawai penyiasat.