Antara pemerkasaan, keusahawanan dan pembangunan asnaf

Ketiga-tiga istilah itu begitu popular untuk majukan kelompok penerima zakat, tetapi mana yang lebih tepat?

APA jua istilah yang digunakan untuk memajukan golongan asnaf, tugas berkenaan perlu digalas oleh amil dan Agensi Mengurus Zakat sebaik mungkin. -Gambar hiasan/ Gambar kecil: DR MOHAMAD SALLEH ABDULLAH
APA jua istilah yang digunakan untuk memajukan golongan asnaf, tugas berkenaan perlu digalas oleh amil dan Agensi Mengurus Zakat sebaik mungkin. -Gambar hiasan/ Gambar kecil: DR MOHAMAD SALLEH ABDULLAH
A
A
A

ASNAF zakat merupakan insan yang sangat istimewa. Golongan itu dinyatakan dengan jelas dalam ayat 145, Surah Al-Baqarah. Tugas untuk menyantuni insan istimewa tersebut digalas oleh amil zakat.

Dalam konteks Malaysia moden, amil zakat sekarang adalah merujuk kepada Agensi Mengurus Zakat (AMZ). Secara pengelasannya, AMZ merujuk kepada tiga jenis dikotomi pengurusan zakat.

Ia termasuklah kutipan dan agihan di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), kutipan di bawah entiti korporat, manakala agihan oleh MAIN dan satu lagi kutipan serta agihan di bawah satu entiti korporat yang sama.

Antara cabaran utama yang turut menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) bagi sesetengah AMZ adalah dalam mencakna asnaf. Ia bagi melahirkan pembayar zakat dalam kalangan mereka.

Persoalan seperti berapa ramai asnaf menjadi pembayar zakat, apa yang dilakukan kepada kelompok itu dan sebagainya sering berlegar-legar.

Tidak mudah sebenarnya untuk menjawab pertanyaan tersebut. Apatah lagi ia melibatkan motivasi dan sikap insan istimewa berkenaan.

Bercerita tentang peranan AMZ dalam memajukan asnaf, terdapat tiga istilah popular sering digunakan iaitu pembangunan, pemerkasaan mahupun keusahawanan asnaf. Manakah yang lebih tepat?

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Jika diteliti ketiga-ketiga frasa berkenaan, tiada definisi yang jelas dan terang oleh penulis artikel ilmiah mahupun oleh pihak AMZ sendiri.

Memahami perbezaan

Begitupun, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, pemerkasaan merujuk kepada perbuatan, usaha atau tindakan menjadikan sesuatu itu hebat, terkenal, berdaulat dan dominan. Sementelah, keusahawanan pula bermaksud segala yang berkaitan dengan usahawan atau kemahiran tentangnya. Sementara itu, pembangunan merujuk kepada kegiatan mengembangkan sesuatu.

Dari segi kerja bagi memajukan asnaf, ketiga-tiga istilah itu boleh disusun seperti berikut:

Fasa 1: Pemerkasaan asnaf.

Merujuk kepada usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan peribadi asnaf sama ada dalam bentuk keupayaan kemahiran, latihan atau teknikal bagi melakukan suatu kerja.

Langkah pertama adalah dengan mengenal pasti penerima zakat yang produktif iaitu sihat tubuh badan, mampu mempelajari ilmu dan berusaha meraih pendapatan dengan kemahiran dipelajari, selain berupaya menjana wang. Selepas melalui semua proses itu, barulah mereka ditempatkan di pusat tertentu bagi mengasah bakat masing-masing.

Apabila mereka diyakini mampu menggunakan kemahiran dengan baik, barulah asnaf tadi dikategorikan sebagai sudah bersedia melakukan kerja yang bersangkut paut dengan kemahiran tersebut. Maka AMZ ketika ini boleh menyokong asnaf dengan pemberian modal, mesin dan alatan tertentu.

Fasa 2: Keusahawanan asnaf.

Ia bermaksud pemerkasaan asnaf dalam bidang keusahawanan. Dengan kata lain, ia merujuk kepada aktiviti menggalakkan asnaf untuk menjadi usahawan.

Terdapat enam model keusahawanan yang perlu dikenal pasti sebelum mereka bergelar usahawan. Ia termasuklah fasa pendedahan, pendidikan, pelaksanaan, bantuan awal pemasaran, bantuan meningkatkan pemasaran dan pemantauan.

MENJADI cabaran utama buat Agensi Mengurus Zakat dalam mencakna asnaf bagi melahirkan pembayar zakat dalam kalangan mereka.
MENJADI cabaran utama buat Agensi Mengurus Zakat dalam mencakna asnaf bagi melahirkan pembayar zakat dalam kalangan mereka.

Kejayaan AMZ dalam melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing merupakan penanda aras kepada keberhasilan program keusahawanan asnaf yang dijalankan.

Fasa 3: Pembangunan asnaf.

Pada pandangan penulis, istilah itu memberikan makna yang lebih meluas berbanding pemerkasaan dan keusahawanan asnaf. Ia merujuk kepada kegiatan untuk memajukan asnaf dalam konteks pembangunan yang lebih besar dan menyeluruh.

Istilah itu sebenarnya lebih kepada agenda dan strategi untuk memajukan asnaf pada masa hadapan termasuklah penglibatan positif daripada semua pihak. Antaranya peranan AMZ, kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan Persekutuan. Ia agenda asnaf yang lebih besar, holistik dan bersifat masa depan.

Malah, konsep itu juga memerlukan kerangka lebih jitu dan tempoh masa panjang. Penulis begitu tertarik dengan tujuh prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang diperkenalkan oleh Prof Emeritus Muhammad Syukri Salleh dari Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.

Barangkali ia boleh dipertimbangkan dan diambil kira dalam penggubalan falsafah serta strategi pembangunan asnaf.

Dalam aspek kerangka pembangunan berteraskan Islam, pembangunan asnaf perlu mengambil kira tujuh prinsip iaitu:

i. Acuan: Berdasarkan tasawur Islam.

ii. Pelaku: Manusia.

iii. Skala waktu: Meliputi alam roh, dunia dan akhirat iaitu apa yang dilakukan di dunia akan memberi kesan kepada seseorang asnaf dari segi akhiratnya.

iv. Kerangka: Fardu ain.

v. Perkaedahan pembangunan: Ibadah.

vi. Peralatan pembangunan: Sumber alam.

vii. Matlamat akhir pembangunan asnaf: Keredaan ALLAH atau mardhatillah.

Ya, apa sahaja yang dilakukan mesti berdasarkan niat. Andai betul nawaitu kita, maka sebarang usaha pembangunan asnaf tentunya akan mendapat keredaan ALLAH SWT.

Demikianlah yang dimaksudkan penulis tentang perbezaan antara pemerkasaan asnaf, keusahawanan asnaf dan pembangunan asnaf.

***Dr Mohamad Salleh Abdullah ialah Pengurus Besar, Jabatan Khidmat Pengurusan, Zakat Pulau Pinang

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!