PTP capai kejayaan luar biasa di persada antarabangsa - Anwar

Anwar meninjau sekitar PTP melalui Anjung Tinjau ketika mengadakan lawatan kerja ke PTP Gelang Patah. Foto Bernama
Anwar meninjau sekitar PTP melalui Anjung Tinjau ketika mengadakan lawatan kerja ke PTP Gelang Patah. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencapaian Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dalam tempoh lebih 20 tahun sebagai kejayaan luar biasa di persada antarabangsa sehingga menjadi antara tiga pelabuhan utama di Asia Tenggara dan menduduki tempat ke-15 dalam senarai pelabuhan utama dunia.

Beliau berkata, kawasan pelabuhan yang terletak di Gelang Patah itu yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan, kini menjadi hab pemindahan kontena paling sibuk di Malaysia.

"Pelaburan sebanyak RM8.7 bilion telah dibelanjakan untuk pembangunan terminal PTP yang turut menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung tempatan berjumlah RM4.4 bilion dengan menjana lebih 20,000 peluang pekerjaan.

PTP yang terletak di Gelang Patah itu yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan, kini menjadi hab pemindahan kontena paling sibuk di Malaysia. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PTP yang terletak di Gelang Patah itu yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan, kini menjadi hab pemindahan kontena paling sibuk di Malaysia. Foto Facebook Anwar Ibrahim

"Saya percaya kejayaan membanggakan ini lahir daripada perancangan yang baik serta pengurusan yang mantap dan cekap. Lebih daripada itu, PTP tidak mungkin mencapai ke tingkat yang kita saksikan hari ni tanpa komitmen, disiplin dan semangat yang ditunjukkan seluruh tenaga penggerak di PTP,” katanya dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, pelaburan dalam PTP telah menghasilkan limpahan rantaian ekonomi seperti peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Johor, bahkan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu yang turut meluangkan masa sekitar 30 minit untuk beramah mesra bersama kakitangan PTP serta MMC Group di samping mendengar pembentangan secara ringkas mengenai cadangan pembangunan jangka masa panjang terminal itu.

"Saya bersedia beri pertimbangan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya nyatakan komitmen untuk menyokong dan mempermudah sebarang usaha sama, sama ada daripada syarikat berkaitan kerajaan atau swasta, khususnya bagi industri atau kegiatan strategik yang penting bagi negara supaya kegiatan ini berkembang maju, sekali gus dapat mengangkat kedudukan dan martabat negara,” katanya. - Bernama