Angkasa bina rumah untuk ahli B40 tiada slip gaji

Abdul Fattah (tiga dari kiri) memotong riben sebaga simbolik Majlis Pecah Tanah Bagi Projek MyAngkasa Villa di Kampung Mahligai, Bachok pada Khamis.
Abdul Fattah (tiga dari kiri) memotong riben sebaga simbolik Majlis Pecah Tanah Bagi Projek MyAngkasa Villa di Kampung Mahligai, Bachok pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam kalangan B40 bakal menikmati kediaman sesuai dengan pendapatan mereka.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, fokus utama koperasi ialah menyediakan rumah secara berkelompok kepada golongan yang tidak mempunyai slip gaji.

Menurut beliau, melalui program MyAngkasa, mereka yang mempunyai tanah berpeluang memiliki kediaman sendiri bermula pada harga RM199,000.

"Kita percaya mereka yang bekerja sendiri dan tiada slip gaji mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar ansuran rumah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Bagi Projek MyAngkasa Villa di Kampung Mahligai, Bachok pada Khamis.

Jelas beliau, pihaknya akan membantu berunding dengan institusi kewangan bagi membolehkan golongan yang bekerja sendiri itu mendapat kelulusan pinjaman.

Tambahnya lagi, mereka menyasarkan sebanyak 3,000 unit rumah dibina tahun ini dengan kos dianggarkan lebih RM450 juta.

"Rumah dengan model baharu seluas antara 69.7 meter persegi hingga 92.9 meter persegi merupakan yang pertama di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fattah memberitahu, projek perumahan daripada MyAngkasa Villa itu turut mendapat permintaan di Pahang dan Johor.

"Kita mahu mengubah stigma 'rumah mampu lihat' kepada rumah mampu milik dengan menyediakan kadar harga sesuai dengan golongan sasar dalam kalangan ahli Angkasa," katanya.