Ekonomi Malaysia bakal raih manfaat sektor semikonduktor, pelancongan tahun ini

Ekonomi Malaysia dijangka meraih manfaat daripada eksport semikonduktor dan pelancongan pada 2024. Foto hiasan
Ekonomi Malaysia dijangka meraih manfaat daripada eksport semikonduktor dan pelancongan pada 2024. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka meraih manfaat daripada eksport semikonduktor, didorong oleh aliran peningkatan teknologi global selain momentum dalam sektor pelancongan pada 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sentimen optimis Malaysia itu didorong oleh kekukuhan angka makroekonomi pada 2023 seperti unjuran pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus, inflasi dan kadar pengangguran lebih rendah serta prospek ringgit.

"Malah, di sebalik cabaran itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensinya telah berjaya meraih banyak pencapaian penting.

"Salah satu contoh adalah kejayaan kita meraih pelaburan langsung asing (FDI) komited bernilai hampir AS$76 bilion (RM354 bilion) pada 2023,” kata beliau ketika berucap pada sesi dialog S Rajaratnam Endowment Dialogue yang diadakan di Singapura hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, seiring dengan kestabilan politik yang kembali pasca pilihan raya umum pada 2022, Malaysia kini bersandarkan hala tuju ekonomi paling lebih sebagaimana digariskan dalam agenda Ekonomi Madani.

Penekanan itu boleh dilihat menerusi dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Negara (NETR), Pelan Hala Tuju Industri Kimia dan Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG)

Menyentuh tumpuan MITI bagi tahun ini, beliau berkata, ini membabitkan pembaharuan perindustrian dan pelaburan yang digariskan dalam NIMP 2030.

"(Walaupun) kementerian saya menerajui usaha itu, namun pelaksanaannya turut melibatkan kementerian-kementerian lain, termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kestabilan (politik) yang dinikmati itu telah membolehkan kita untuk menggerakkan agenda pembaharuan dengan lebih pantas sejak setahun lepas,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menekankan peranan besar NIMP dalam anjakan industri dan ekonomi kedua dan adalah penting untuk negara ini melaksanakannya secara tepat.

"Perindustrian semula ini adalah satu keperluan strategik untuk masa depan ekonomi kita," katanya.

Beliau juga menegaskan kepentingan untuk Malaysia berusaha melonjakkan sebanyak mungkin syarikat-syarikat peringkat pertengahan ke dalam rantaian bekalan global dan memacu pembangunan kilang pintar di bawah NIMP agar lebih dikenali di mata pelabur sebagai destinasi bagi pembuatan bernilai tinggi.

Bagi industri hijau, Tengku Zafrul berkata, Malaysia yang memainkan peranan bagi mengurangkan perubahan iklim, telah mula melaksanakan i-ESG dalam usaha membolehkan industri mempercepat aspek dedahan kemampanan.

"Jika ini tidak dilakukan, pengeluar dan pengeksport Malaysia berisiko untuk diketepikan daripada pasaran utama yang sensitif ESG. Ini kerana dari sudut lain, terdapat peluang bernilai AS$12 trilion dalam pasaran yang menumpukan ESG global untuk direbut oleh kalangan industri kita," katanya. - Bernama