Tahap kecederaan Tze Yong cetus tanda tanya

Tze Yong - Foto: Bernama
Tze Yong - Foto: Bernama
A
A
A

STATUS kecederaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang terpaksa menarik diri ketika beraksi dalam saingan pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 pada Rabu masih menjadi tanda tanya.

Jurulatih perseorangan negara, Datuk Tey Seu Bock memberitahu masih menunggu laporan daripada pegawai perubatan mengenai tahap kecederaan pemain berusia 24 tahun itu sama ada serius atau sebaliknya.

Beliau berkata, Tze Yong sudah mendapatkan rawatan awal pada Rabu, namun pemain itu perlu menjalani rawatan susulan yang lebih terperinci bagi melihat tahap sebenar kecederaannya.

"Semalam (Rabu) selepas habis perlawanan, kita sudah jumpa doktor. Sudah scan tapi doktor tak bagi detail lagi dan sepatutnya dapat pagi ini (Khamis) tetapi perlu tunggu lagi kerana perlu jumpa semula 9 pagi esok (Jumaat).

"Apa pun kena tunggu esok untuk tahu lebih lanjut apa masalah dia sama ada muscle tear atau lain," katanya ketika ditemui media di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Khamis.

Tze Yong yang merupakan pemain ranking ke-15 dunia terpaksa menarik diri ketika berdepan lawan nombor 23 dunia dari Jepun, Koki Watanabe dalam perlawanan pusingan pertama di Axiata Arena, pada Rabu.

Pemain kelahiran Johor itu yang mengalami kecederaan belakang memaksanya menarik diri pada minit ke-13 permainan ketika ketinggalan 7-8 kepada lawan dari Negara Matahari Terbit tersebut.

Seu Bock menjelaskan sebagai pemain insiden kecederaan adalah perkara biasa dan Tze Yong pernah mengalami kecederaan sama sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini pun memang ada kecederaan dan kita fokus mengatasi perkara itu. Selepas latihan pun pemain akan rasa sakit-sakit badan, ia adalah biasa dan tidak menjejaskan aksi mereka ketika kejohanan," katanya.