Liridon, de Paula semakin hampir sarung jersi Harimau Malaya

Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi
Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi
A
A
A

IMPIAN peminat dan penyokong bola sepak Malaysia untuk melihat kelibat bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi dan penyerang Perak, Guilherme de Paula menyarung jersi Harimau Malaya mungkin tercapai tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sama ada Liridon atau de Paula dapat beraksi bersama skuad kebangsaan akan diketahui bulan ini.

Menurutnya, beliau optimis kedua-dua pemain terbabit akan dapat melepasi syarat yang ditetapkan FIFA selepas pihaknya selesai menghantar dokumen lengkap yang diperlukan badan induk bola sepak dunia itu.

“Pada kita nampak positif untuk diluluskan sebab itu kami hantar borang tersebut kepada FIFA. Semua dokumen yang diperlukan FIFA juga kita penuhi tetapi kita tak tahu mungkin dari segi pandangan FIFA ada yang tidak kena.

“Namun, keyakinan kami tinggi bahawa ia akan diluluskan dan kedua-dua pemain itu dapat bermain bersama pasukan kebangsaan nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohd Yusoff juga memberitahu, tiada masalah untuk mendaftarkan kedua-dua pemain itu sebagai rakyat Malaysia yang mana FAM sudah bersedia sepenuhnya dengan dokumen yang diperlukan.

“Jika sudah lepas (di peringkat) FIFA, kami akan daftarkan kerakyatan mereka. Kami juga sudah bersedia dengan segala dokumen untuk diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, Liridon dan de Paula tidak boleh beraksi pada baki tiga aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu dan hanya boleh didaftarkan jika Malaysia layak ke pusingan ketiga kempen kelayakan tersebut.

Artikel Berkaitan: