Peniaga kedai runcit rugi hampir RM1 juta diperdaya phone scam

Seorang peniaga kedai runcit kerugian RM922,300.87 akibat diperdaya sindiket phone scam yang menyamar sebagai polis, bulan lalu. - Gambar hiasan
Seorang peniaga kedai runcit kerugian RM922,300.87 akibat diperdaya sindiket phone scam yang menyamar sebagai polis, bulan lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang peniaga kedai runcit kerugian RM922,300.87 akibat diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau 'phone scam' yang menyamar sebagai polis, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa yang merupakan lelaki berusia 50-an itu menerima panggilan telefon daripada seorang suspek menyamar sebagai Sarjan Tan yang mendakwa merupakan anggota polis Perak pada awal Disember tahun lepas.

"Suspek yang tinggal di Simpang Ampat mendakwa terdapat kes melibatkan pengurus sebuah bank yang telah berhenti kerja, telah melakukan aktiviti penipuan menggunakan akaun bank mangsa.

"Mangsa bagaimanapun menafikan terlibat dalam kes tersebut namun Sarjan Tan telah meminta lelaki terbabit mengikut arahannya sekiranya tidak mahu ditangkap," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, antara arahan suspek ialah mangsa diarah meninggalkan kad bank ATM dan nombor akaun bank miliknya tanpa perlu berjumpa dengan suspek di sebuah lokasi di Simpang Ampat di sini pada 20 Disember tahun lepas.

Katanya, pada 3 Januari lepas, mangsa telah diarahkan membuka cek bank atas nama sebuah syarikat suspek berjumlah RM420,000 dan memasukkan cek berkenaan ke dalam mesin cek sebuah bank di daerah itu.

Arshad berkata, enam hari kemudian, ketika membuat semakan akaun bank mangsa di cawangan bank berhampiran, lelaki berkenaan mendapati terdapat beberapa transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke akaun yang tidak dikenali berjumlah RM502,300.87 antara 21 Disember tahun lepas hingga 8 Januari tahun ini.

Beliau berkata, pada 9 Januari lepas, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon memintanya membuat sekali lagi transaksi pemindahan wang namun tidak diturutinya kerana menyedari telah ditipu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama