Pekerja ladang warga Indonesia dituduh bunuh majikan

Buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan membunuh majikannya.
Buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan membunuh majikannya.
A
A
A

MELAKA - Seorang buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan membunuh majikannya, 27 Disember lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Rudiansyah, 25, tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Kharunnisak Hasni kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kematian warga emas yang juga mualaf, Nordin Ong Abdullah, 71.

Kesalahan tersebut dilakukan di rumah kebun Ladang Kelapa Sawit, Lorong Sidang Hj Hamid, Paya Rumput Jaya, Sungai Udang di sini, antara jam 10.30 pagi 22 Disember hingga 1.20 pagi, 27 Disember lalu.

Rudiansyah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan bedah siasat selain tiada jaminan dibenarkan.

Sinar Harian pada 1 Januari lalu melaporkan gara-gara dimaki dan dimarahi majikan, dipercayai menjadi punca seorang pekerja ladang warga Indonesia membunuh warga emas lelaki di sebuah pondok kebun kelapa sawit di Sungai Udang di sini pada 22 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Mangsa ditemui mati dengan dua kesan tikaman di belakang kepala berukuran setengah inci pada jam 1.20 pagi, 27 Disember lalu.