Dua kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir

Tian Soon (dua dari kiri) meluangkan masa melawat PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya di Pontian pada Selasa.
Tian Soon (dua dari kiri) meluangkan masa melawat PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya di Pontian pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hanya dua kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Sabtu lepas hingga Selasa, iaitu di Pontian dan Mersing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, ia susulan saringan Covid-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melibatkan 938 mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Beliau berkata, mereka yang dikesan positif, kemudiannya ditempatkan di bilik berasingan di PPS sama di bawah pantauan pasukan perubatan dan kesihatan yang ditempatkan di semua PPS yang masih beroperasi.

"Sementara itu, sebanyak 61 kes penyakit berjangkit telah dikesan melibatkan 53 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), dua kes konjunktivitis dan masing-masing tiga kes penyakit kulit dan gastroenteritis akut (AGE) dalam kalangan mangsa banjir di seluruh negeri.

"Saya ingin menasihatkan mangsa yang terjejas supaya menjauhi air banjir atau air yang tercemar di samping kerap basuh tangan dan sentiasa menjaga kebersihan diri bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Selain itu, Tian Soon berkata, bagi golongan berisiko tinggi serta bergejala digalakkan terus memakai pelitup muka.

Beliau yang turut meluangkan masa melawat PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya di Pontian pada Selasa, memaklumkan tiga klinik fasiliti di Kota Tinggi iaitu Klinik Desa Semanggar, Klinik Desa Batu 4 dan Petri Jaya yang sebelum ini terjejas banjir telah kembali beroperasi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan sebanyak 7,933 mangsa banjir ditempatkan di 53 PPS di enam daerah di Johor setakat 7 malam ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: