Mara biaya anak, cucu peneroka Felda lanjut pelajaran ke luar negara

Ahmad Zahid semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dan koordinasi bersama pengurusan Felda yang turut disertai Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dan koordinasi bersama pengurusan Felda yang turut disertai Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak dan cucu peneroka Felda yang layak akan diberi pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bantuan itu akan disalur menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau berkata, inisiatif itu adalah antara tumpuan menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Felda dalam memperkasakan institusi itu termasuk dalam aspek kebajikan peneroka.

KKDW juga, katanya, akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan pembelajaran bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan menawarkan kursus bersesuaian seiring kehendak semasa pasaran kerja melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ahmad Zahid berkata, peluasan liputan telekomunikasi juga akan diperhebat di kawasan tanah rancangan bagi menjamin generasi muda Felda di sekolah rendah dan menengah menikmati kemudahan itu bagi tujuan pembelajaran seperti di tempat lain.

"Kita juga akan mengkaji bagi mengubah suai beberapa akta tertentu untuk memudahkan pengubahsuaian serta perubahan dilakukan bagi mencapai matlamat mengembalikan Felda ke landasan asal penubuhan iaitu menjamin kebajikan para peneroka dan generasinya,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dan koordinasi bersama pengurusan Felda yang turut disertai Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama strategik itu menumpukan kepada enam bidang termasuk pembangunan modal insan dan TVET yang bakal membawa lebih manfaat kepada generasi baharu di 317 tanah rancangan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Turut diberi tumpuan ialah pembangunan infrastruktur, keusahawanan, perladangan dan kesiapsiagaan Felda dengan penglibatan kementerian serta agensi lain seperti Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Agensi Bencana Negara (Nadma).

"Setelah diberi amanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat isu berbangkit serta mengembalikan Felda kepada landasan asal penubuhan iaitu menjaga kebajikan peneroka dan generasinya, saya telah mengenai pasti beberapa permasalahan yang harus ditangani,” katanya. - Bernama