Segera laksana SSPA antara fokus utama KPPA baharu

Wan Ahmad Dahlan mengimbas kad perakam waktu ditemani oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Datuk Dr Anesee Ibrahim di sini pada Selasa.
Wan Ahmad Dahlan mengimbas kad perakam waktu ditemani oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Datuk Dr Anesee Ibrahim di sini pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu menggariskan tiga fokus utama dalam menerajui tampuk pimpinan jabatan itu.

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ia termasuklah menyegerakan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ia menjadi tanggungjawab terbesar untuk kita menyiapkan sistem ini dengan segera.

"Itu juga pesanan daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi mengimbas kad perakam waktu di bangunan JPA di sini pada Selasa.

Menurutnya, pendigitalan di dalam sektor perkhidmatan awam juga perlu diterokai dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan kecerdasan buatan (AI).

"Perkhidmatan awam tidak boleh ketinggalan. Kita mesti bergerak seiring dengan perkembangan semasa," katanya.

Ujar beliau, kompetensi penjawat awam harus ditingkatkan dengan ilmu dan pengetahuan semasa.

"Saya difahamkan JPA sudah mempunyai kerangka berdasarkan Program Penempatan Silang (PCF) terdahulu tetapi mungkin kita akan tambah baik supaya lebih memberi input dan keberkesanan kepada penjawat awam," katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Anwar kerana memberi kepercayaan untuk beliau menerajui JPA.

Artikel Berkaitan:

Wan Ahmad Dahlan dilantik sebagai KPPA yang ke-27 berkuat kuasa 9 Januari bagi menggantikan Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!